Wednesday, 14 November 2018

161 Sijil Pengesahan Halal Malaysia Dikeluarkan Di Terengganu

SHARE
Mohd Azam Awi.
KUALA TERENGGANU, 14 November -  Sebanyak 161 Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) diluluskan sehingga November 2018 di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Azam Awi berkata, daripada jumlah itu sebanyak 76 melibatkan permohonan baharu dan bakinya untuk tujuan pembaharuan lesen.

Katanya, sijil halal berkenaan dikeluarkan kepada produk makanan dan minuman, barang gunaan, premis makanan, rumah sembelihan dan produk kosmetik.

“Produk makanan dan minuman paling banyak mendapatkan sijil halal iaitu 106, diikuti premis makanan (37), barang gunaan (12), rumah sembelihan (4) dan kosmetik (2).

"Bagi kategori industri ianya dimonopoli industri kecil (IK) iaitu sebanyak 53, mikro (52), multinasional (12) dan industri sederhana (8),” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Seminar Pemantapan Eksekutif Halal Negeri Terengganu 2018 di Hotel Permai, hari ini.

Mengulas mengenai seminar yang diadakan, Mohd Azam berkata, antara objektifnya adalah untuk memberi pendedahan tanggungjawab Eksekutif Halal dari aspek syariah dan teknikal serta memberi kesedaran kepenbtingan peranan mereka dalam industri Pensijilan Halal Malaysia.

“Seminar ini dihadiri kira-kira 113 peserta dari kalangan Eksekutif Halal yang mempunyai tanggungjawab secara langsung terhadap kualiti dan jaminan halal syarikat masing-masing,” ujarnya.

Katanya, JHEAT turut me­ngadakan pelbagai program bagi membantu para usahawan memohon sijil halal termasuk kerjasama dengan JAKIM.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: