Tuesday, 30 October 2018

YPU Timbang Kerjasama Perniagaan Dengan Pengeluar Susu Soya

SHARE
Haji Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman (kiri) berbincang dengan Dawood Somchai Kulkirirattana di dalam kilang Labansoy.
YALA, 30 Oktober - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mempertimbangkan cadangan untuk menjalinkan kerjasama perniagaan dengan pengeluar susu soya Labansoy, Toiyibun Co. Ltd.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, beliau kagum dengan usaha yang dimajukan oleh syarikat tersebut iaitu sebuah perniagaan milik umat Islam di Selatan Thai.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana pihak Labansoy yang menerima baik kunjungan kami dan saya sangat bersyukur kerana ia adalah sebuah syarikat milik orang Islam yang berjaya.

“Mungkin kita akan melaksanakan kolaborasi perniagaan dalam masa terdekat dengan Labansoy,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika menyampaikan ucapan balas, semasa melawat kilang tersebut, semalam.

Menurutnya, YPU bersama 20 orang delegasi daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan negeri dalam rangka lawatan meninjau peluang kerjasama perdagangan di beberapa buah tempat di wilayah Selatan Thai.

Sebelum itu, Pengarah Urusan Toiyibun Co. Ltd., Dawood Somchai Kulkirirattana mengalu-alukan kedatangan delegasi dari Negeri Terengganu.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih di atas kedatangan rombongan yang dianjurkan YPU ke kilangnya  di Petkasem Rd. Thasap, Muangyala, Yala.

“Ia adalah langkah yang tepat kerana sebelum ini para pelabur termasuk dari negara China tidak berani datang ke sini.

“Mereka takut dan bimbang kerana wilayah Selatan Thai, khususnya Yala merupakan kawasan yang disifatkan sebagai bergolak berikutan beberapa siri serangan bom dan keganasan yang berlaku,” ujar beliau.

Dalam perkembangan yang sama, Haji Mohd. Nurkhuzaini berkata, permintaan terhadap minuman soya adalah sangat tinggi.

Katanya, ia terbukti dengan fakta yang disampaikan dalam taklimat oleh Dawood iaitu Labansoy telah dieksport ke luar negara, termasuk di Timur Tengah dan Afrika.


“Cuma masalahnya ialah rangkaian penawaran bahan asas iaitu kacang soya adalah terhad dan terpaksa dibawa masuk dari negara luar.

“Ia melibatkan kos yang amat tinggi, buruh dan pengeluaran dari ladang. Oleh itu, YPU dan usahawan yang ada (di bawah seliaannya) dapat memanfatkan ruang dan peluang yang ada (dari pengeluaran) susu soya ini,” tambah beliau.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Rozali Salleh, Pengurus Kanan Pengurusan Aset dan Pembiayaan YPU, Haji Zulkifli Yunus dan  Pengurus Pembangunan Usahawan YPU, Ahmad Shabirin Awalludin.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: