Wednesday, 24 October 2018

Tujuh Emas Bawa Aisyah Ke Tanah Suci

SHARE
Aisyah menunjukkan insentif kemenangannya di SUKMA kepada pemberita.
KUALA NERUS, 24 Oktober - Atlet paling cemerlang Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19, Nur Aisyah Mohamad Zubir melahirkan rasa gembira apabila dianugerahkan hadiah bonus berupa pakej umrah tajaan Whe Mumtaz Travel & Tours Sdn. Bhd.

Pemenang tujuh pingat emas acara berbasikal jalan raya dan trek itu berkata, dia dimaklumkan berita gembira itu oleh pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu, Khamis lalu.

Menurutnya, hadiah itu bakal merealisasikan harapan untuk membawa kedua ibu bapanya menziarahi tanah suci Mekah.

“Selama ini, saya mengumpulkan wang untuk menunaikan hasrat ini. Alhamdulillah, hadiah bonus ini adalah rezeki kami untuk ke sana,” katanya.

Selain pakej umrah, gadis kelahiran Kemaman itu turut menerima hadiah kemenangan berupa wang tunai berjumlah RM21,000.

Ketika ditemui, beliau sempat merakamkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada pihak yang terlibat dalam kejayaannya.

“Kepada Menteri Besar dan Exco Belia, Sukan dan NGO,  pengarah dan kakitangan MSNT, ketua kontinjen, pengurus sukan dan jurulatih yang banyak mendidik saya, saya ucapkan jutaan terima kasih atas masa, peluh dan keringat yang diluangkan untuk saya sehingga berjaya.

Kerajaan negeri berusaha memberikan penghargaan terbaik kepada atlet yang mengangkat nama negeri di peringkat tertinggi.
“Saya tidak menyangka menerima hadiah pakej umrah kerana sejak awal lagi kami dimaklumkan hadiah bonus ini hanya untuk olahragawati terbaik yang dimenangi oleh ratu pecut kita, Azreen Nabila Alias,” katanya terharu.

Kejayaan itu juga menjadi motivasi baginya yang akan bertanding acara jalan raya dalam temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2019 di Filipina.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Dr. Samsuri memaklumkan hadiah itu tanda keprihatinan kerajaan atas usaha dan kesungguhan gadis berusia 21 tahun itu.

“Memang pada asalnya, cuma olahragawati yang mendapat hadiah bonus itu. Tetapi, kita menyedari kejayaan Aisyah meraih tujuh pingat emas, iaitu dalam semua acara yang disertainya adalah satu pencapaian yang cemerlang.

“Setelah berbincang dengan beberapa pihak, kita berjaya mendapatkan tajaan yang juga berupa pakej umrah untuknya,” katanya.

Aisyah dan Azreen dijangka akan menunaikan umrah tersebut pada bulan Disember nanti.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: