Sunday, 21 October 2018

TFC Mara Ke Final Piala Malaysia

SHARE
Pasukan TFC meraikan kejayaan selepas mencatatkan kemenangan menerusi agregat 3-2 ke atas Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan aksi timbal-balik di Stadium Larkin.
Oleh: Mohd Zukifli Mat

LARKIN, 22 Oktober - Pasukan tunggal dari pantai timur, Terengganu Football Club (TFC) mengesahkan slot ke 'final' Piala Malaysia selepas mencatatkan kemenangan menerusi agregat 3-2 ke atas Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan aksi timbal-balik di Stadium Larkin, malam tadi.

Timbalan 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim yang menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung di Larkin berkata, ianya adalah satu perlawanan yang cukup mencemaskan.

"TFC terlebih dahulu ketinggalan 0-2 kepada tuan rumah apabila dihadiahkan sepakan penalti dan disempurnakan oleh Fernando Marquez pada minit ke-40.

"Ianya diikuti pula gol kedua daripada penyerang berbisa JDT, Gonzalo Cabrera pada minit ke-62 dalam separuh masa kedua perlawanan.

"Namun, Terengganu yang pada awalnya ketinggalan 0-2 bangkit mengatur semula jentera serangan dan berjaya merapatkan kembali jurang apabila Kipre Tchetche selaku peledak utama TFC menjaringkan gol menerusi hantaran dari Lee Tuck pada minit ke-69 perlawanan.

"Kebangkitan yang luar biasa dipamerkan Terengganu apabila Kipre Tchetche sekali lagi menjadi duri dalam daging buat JDT dengan meledak gol kedua hasil lorongan cantik dari pemain gantian, Ashari Samsudin sekaligus menembusi gawang gol JDT," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang kejayaan pasukan penyu mara ke pusingan akhir Piala Malaysia 2018.

Hishamuddin Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tepoh turut memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh anak-anak buah Haji Irfan Bakti.

Keputusan yang berkesudahan seri 2-2 memadai buat Terengganu untuk melayakkan diri ke pentas akhir di Stadium Shah Alam 27 Oktober ini.

Pasukan pantai timur itu yang terkenal dengan jolokan 'The Turtles' mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas JDT pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, baru-baru ini (13 Oktober).

SHARE

Author: verified_user

0 komen: