Sunday, 7 October 2018

TFC Bawa Kelebihan Ke Larkin

SHARE
Jaringan gol oleh pasukan TFC memberi nafas lega kepada para penyokong Terengganu yang hadir.
Oleh: Mohd Zukifli Mat

KUALA TERENGGANU - Kemasukan Abdul Malek ternyata membuahkan hasil apabila beliau menjaringkan gol pada minit ke-78 dengan menyambar hantaran yang dilakukan oleh Kipre Tchetche.

Perlawanan yang terikat seri 0-0 pada separuh masa pertama memaksa jurulatih Haji Irfan Bakti mengubah corak permainan dengan menukarkan pemain dalam separuh masa kedua.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, beliau beranggapan bahawa perlawanan kali ini sangat mendebarkan.

"Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berterusan melakukan asakan demi asakan ke pintu gol pasukan Terengganu.

"Namun, alhamdulillah pasukan Terengganu FC (TFC) membuktikan mereka mampu mengatasi pasukan terkuat.

"Pasukan kita berjaya menundukkan JDT 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah malam tadi," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, mengulas tentang perlawanan menentang JDT dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018, semalam (6 Oktober).

Dalam perkembangan yang sama, Hishamuddin Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, bekalan satu gol itu belum cukup selesa buat TFC.

"Saya berharap agar pasukan Terengganu mempamerkan aksi yang lebih cemerlang dan terus mencari gol menjelang aksi timbal balik di tempat lawan nanti.

"Jangan pandang rendah pihak lawan, sentiasa fokus dan kekalkan semangat berpasukan untuk mencapai kejuaraan.

"Mereka tidak bersendirian, malah memiliki penyokong setia dan pengurusan yang sentiasa bersama.

"Gol tunggal yang dijaringkan oleh Abdul Malek pada minit ke-78 berjaya menjarakkan kedudukan di antara 2 pasukan tersebut.

"Walaupun pada awalnya perlawanan dikuasai oleh pihak lawan, tetapi satu gol yang dimiliki cukup membuatkan penyokong menarik nafas lega," tambahnya.


Perlawanan separuh akhir kedua di antara TFC dan JDT dijadualkan berlangsung di Larkin pada 20 Oktober ini.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: