Wednesday, 31 October 2018

Terengganu Tambah Lima Lagi Ahli MPKK Di Setiap Kampung

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail
KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju dan bersedia untuk menambah bilangan pelantikan seramai lima orang lagi Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di setiap kampung bagi memastikan pengurusan komuniti kampung terus diperkukuhkan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, senarai nama tersebut akan dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, antara aspek yang penting dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat adalah menguruskan komuniti masyarakat supaya dapat berfungsi dengan sempurna dan penuh keadilan.

"Negeri Terengganu merupakan negeri pertama di Malaysia yang menyelesaikan pelantikan Ahli MPKK di seluruh negeri pada 1 Julai 2018 yang lalu.

"Ianya telah melibatkan seramai lima belas orang ahli jawatankuasa yang dilihat mampu untuk memberikan sumbangan kepada pengurusan komuniti di setiap 1,044 kampung di negeri ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini, mengulas tentang penambahan bilangan ahli MPKK di setiap kampung di Terengganu.

Dalam perkembangan sama, katanya, nama MPKK telah dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menggantikan nama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Beliau turut mengharapkan perkembangan ini akan mampu membawa perubahan yang positif dan bermanfaat kepada semua pihak.

"Adalah diharapkan perkembangan ini akan mampu membawa suara komuniti kampung ke satu tahap yang lebih baik.

"Bahkan seterusnya memperkukuhkan asas hubungan negeri dan persekutuan, sesuai dengan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pada 18 Oktober yang lalu," jelasnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: