Monday, 22 October 2018

Terengganu Sedia Kongsi Pembangunan Sukan Negeri

SHARE
Ustaz Wan Sukairi bersama wakil Kerajaan Kelantan di MSNT, Gong Badak, hari ini.

KUALA NERUS, 22 Oktober - Kerajaan Terengganu sentiasa bersedia untuk berkongsi amalan dan pengalaman kejayaannya dalam tadbir urus dan pembangunan sukan dengan negeri lain yang berminat untuk mempelajarinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Abdullah berkata, langkah tersebut selaras dengan matlamat menjayakan agenda sukan negeri khususnya dan negara amnya.

“Hari ini, kita telah menerima kunjungan dari wakil Kerajaan Kelantan dan satu taklimat khas berkaitan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah dibentangkan kepada wakilnya.

“Kita telah pun kongsikan maklumat berkaitan dengan pengurusan, pentadbiran dan sebagainya dan mudah-mudahan ianya menjadi input yang baik kepada mereka untuk mengadakan perkara yang sama di Kelantan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat bersama timbalannya, Zuraidin Abdullah dan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (UBes) Negeri Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari di MSNT Gong Badak, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Sementara itu, Wan Roslan berkata, kunjungan ke Terengganu adalah untuk mendapatkan maklumat yang jelas mengenai MSNT.

“Selain mendapatkan info dan maklumat berkaitan tadbir urus dan pembangunan sukan di negeri jiran ini, kita mengharapkan hubungan kerjasama ini dapat dikekalkan.

“Lebih-lebih lagi Terengganu telah berkali-kali bergelar juara Sukan Malaysia (SUKMA), mungkin hasil daripada lawatan ini akan ada sedikit sebanyak yang boleh kita laksanakan di negeri Kelantan,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: