Thursday, 11 October 2018

Terengganu Sedia Kaji Teknologi IBS

SHARE
Dr.Alias Razak ketika bercakap di sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran 'Showroom' Inovar Floor Kuala Terengganu di Jalan Sultan Zainal Abidin, hari ini.Foto Oleh Solah

KUALA TERENGGANU-Kerajaan negeri sedia mengkaji keberkesanan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk digunapakai dalam projek perumahan yang melibatkan kemudahan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata IBS adalah kaedah terbaik mengurangkan masa pembinaan, pembaziran dan pencemaran alam sekitar, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan, kecekapan serta kemahiran.

Katanya, Permintex Warijitu merupakan pemaju dan kontraktor perumahan di negeri ini telah menjalankan kerja-kerja pembinaan struktur rumah dan bangunan dengan menggunakan teknologi pasang siap juga yang pertama di Terengganu.

"Kita akan lihat keberkesanannya melalui projek perintis yang sedang berjalan sekarang iaitu pembinaan rumah teres 13 unit di hadapan Hospital Dungun.

"Jika ia berjaya di Dungun, kita tengok samada harganya okey,  cepat siap dan lulus Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta dijamin selamat, InsyaAllah ini pilihan terbaik yang akan kita kemukakan kepada ahli lembaga yang lain,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran 'Showroom' Inovar Floor Kuala Terengganu di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, 10 Oktober.


Tambah beliau, menerusi sistem IBS, juga dapat memastikan ketepatan dan keupayaan menyiapkan projek pada masa yang singkat berbanding kaedah pembinaan konvensional.

"Kita perlu berani buat perubahan dengan teknologi yang baru, yang lebih murah daripada apa yang kita amalkan sekarang untuk rakyat,"ujarnya lagi.


Permintex Warijitu merupakan satu-satunya syarikat yang mendapat hak eksklusif membekal dan memasang lantai kayu berlamina jenama Inovar di Terengganu.

Pembukaan Inovar Floor Kuala Terengganu merupakan cawangan kedua selepas Inovar Floor Dungun yang beroperasi pada Mac lalu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: