Friday, 26 October 2018

Terengganu Sedia Dana 10 Juta Untuk Pertanian - Dr Samsuri

SHARE
Menter Besar yang hadir bersama isteri melihat lembu sado yang bakal bertanding.
KUALA NERUS, 26 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu menggalakkan golongan belia menceburi sektor pertanian terutama bidang tanaman jangka pendek seperti timun, tembikai dan lain-lain.

Ini kerana ia dapat memberikan hasil lumayan kepada pengusaha.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri meningkatkan jumlah dana bantuan dalam bidang itu kepada 10 Juta pada tahun 2019.

"Dana bantuan ini disediakan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang iaitu Dana Usahatani Negeri Terengganu (DUTA).

"Yayasan Pembangunan Usahawan juga menawarkan skim-skim pinjaman mudah industri asas tani berbentuk pinjaman tanpa faedah," katanya ketika merasmikan Road To MAHA (RTM) di pejabat MARDI, Manir, semalam.

Dr Samsuri membelah melon manis sebagai simbolik perasmian sambil diperhatikan Timbalan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Hilmi Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya.
RTM yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam melibatkan 25 agensi kerajaan dan 68 usahawan di bawah seliaan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa.

Pengerusinya, Dr. Azman Ibrahim menyifatkan program ini sebagai pertemuan antara agensi dan pengusaha dalam usaha memacu industri pertanian ke arah lebih baik.

"Saya juga berharap rakyat akan mengambil manfaat daripada RTM kerana ia menyediakan banyak peluang untuk membangun kerjaya dalam bidang pertanian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran RTM semalam.

RTM menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung dalam program dwi tahunan yang julung kali diadakan itu.

Selain pameran hasil ternakan dan pertanian, RTM mengadakan tujuh seminar berkaitan industri itu untuk pendedahan umum dan boleh disertai orang awam sepanjang program.

Pertandingan Lembu Sado dan Ikan Hiasan turut memeriahkan program selain tarikan utama pameran Penyu Comel yang menjadi tumpuan ramai.

RTM dibuka dari jam 10 pagi sehingga 10 malam dengan menampilkan pelbagai aktiviti. Rakyat dijemput hadir beramai-ramai.

Menteri Besar turut meninjau perniagaan ikan hiasan yang mendatangkan pulangan lumayan.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: