Saturday, 6 October 2018

Terengganu Sambut Baik Usaha Kerajaan Pusat Tingkat Keusahawanan

SHARE
Mohd Norkhuzaini (kanan) mengiringi Dato' Sri Jamil Haji Salleh meninjau 'booth' pameran di karnival tersebut. Foto - M. Shukri
Oleh: Afiq M. Zaid

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menyambut baik segala usaha daripada Kerajaan Persekutuan yang boleh membawa manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya dalam bidang keusahawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan negeri juga akan memberikan kerjasama yang baik bagi keuntungan rakyat Terengganu.

Katanya, beliau mengharapkan kerjasama ini tidak berhenti di sini sahaja.

"Ini kerana banyak lagi perkara yang boleh membawa manfaat kepada rakyat khususnya dalam bidang perniagaan ini." ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Karnival Online Network Entepreneur (ONE) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berlangsung di Mydin Mall Gong Badak, semalam (5 Oktober).

Menurut Mohd Norkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, semua agensi kerajaan termasuk SSM digabungkan di bawah Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Terengganu (MSPUT).

"Matlamat setiap agensi adalah sama yang bertujuan untuk membangunkan potensi usahawan-usahawan di Negeri Terengganu.

"Justeru, kita wujudkan satu platform iaitu MSPUT untuk kita bekerjasama membantu usahawan Terengganu.

Tambahnya, pihak kerajaan negeri akan mengintegrasikan semua agensi kerajaan pusat dan negeri di bawah satu bumbung bagi memudahkan pengurusan data maklumat.

"Kita akan bangunkan 'big data' (pengkalan maklumat) untuk kita integrasikan semua agensi di bawah satu bumbung untuk mengakses data masing-masing.

"Permohonan mereka akan di'syncronize'kan, jadi tidak timbul isu pertindanan permohonan ataupun sesetengahnya akan dapat dua atau tiga bantuan dalam satu masa.

"Oleh itu, ini merupakan satu langkah yang baik dan SSM antara agensi yang bergiat aktif dalam program-program keusahawanan negeri," jelasnya.


Majlis dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merangkap Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Dato’ Sri Jamil Haji Salleh.

Karnival Online Network Entepreneur (ONE) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah berlangsung bermula semalam hingga 6 Oktober.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: