Saturday, 20 October 2018

Terengganu Sahut Seruan Semangat Federalisme

SHARE


Dr Samsuri positif hasil pembentangan KSP.
DUNGUN, 20 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu mengalu-alukan hasil pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohktar memandang positif hasrat kerajaan persekutuan untuk mengembalikan semangat federalisme dengan pemerkasaan negeri melalui pengagihan kuasa dalam beberapa fungsi.

"Federalisme membawa konsep kita mengiktiraf dan menghormati  sebarang perjanjian yang telah dimeterai antara kedua pihak. Ini termasuklah perjanjian pembahagian Dana Khas Persekutuan (DKP) atau royalti kepada negeri-negeri terlibat.

"Setakat ini bagi Negeri Terengganu, sudah ada keputusan positif daripada Majlis Kewangan Negara dan sebahagian dana tersebut sudah diperoleh secara berperingkat walaupun kita masih belum menerima jumlah sebenar.

"Manakala, agenda pembangunan wilayah yang seimbang yang dinyatakan dalam KSP juga amat baik untuk pembangunan secara saksama," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Malam Amal Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail di Arena Merdeka, malam tadi.


Menteri Besar menyatakan sokongan kepada SMASID dengan hadir merasmikan majlis.
Dr Samsuri menjelaskan, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan berkaitan perkara tersebut dalam mesyuarat Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER) bersama Kelantan dan Pahang pada hujung bulan ini.

"Kerajaan negeri juga berharap segala perancangan RMK-11 dilaksanakan sebagaimana dirancang.

"Kami menanti pengumuman strategi kerajaan dalam mengurangkan hutang isi rumah dan tindakan kerajaan dalam menghadapi kemelut 'trade war' yang berlaku di antara negara China dan Amerika Syarikat hari ini di mana ia akan turut mempengaruhi Terengganu sebagai kerajaan negeri," katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: