Thursday, 25 October 2018

Terengganu Prihatin Masalah Industri Perumahan - Dr Samsuri

SHARE
Haji Yahaya Ali berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Terengganu 2018.
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Industri perumahan merupakan salah satu sektor yang amat penting dan diambil perhatian serius oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, kerajaan komited dalam usaha untuk memastikan seluruh rakyat daripada pelbagai golongan samada berpendapatan rendah, atau tinggi mampu memiliki kediaman.

“Pelbagai inisiatif dirangka dan dikaji oleh kerajaan negeri bagi  memberi keseimbangan  kepada pemilikan tanah untuk setiap golongan dapat dicapai.

“Pihak kerajaan negeri juga  akan mengambil pandangan daripada pemain industri hartanah terutama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Terengganu agar dasar serta hasrat kerajaan dapat mengambil kira keperluan rakyat negeri ini,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Terengganu 2018 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Paya Bunga Square, hari ini.

Katanya, pihak kerajaan negeri amat menggalakkan ekspo sebegini kerana ia memberi ruang kepada  pemaju hartanah tempatan untuk memasarkan produk hartanah mereka.

Menurutnya, melalui pameran, pengusaha juga berjaya mengumpulkan produk dalam skala yang besar di bawah satu bumbung.

Di samping itu, ia memberi peluang dan ruang kepada penduduk untuk membuat pilihan daripada tawaran yang dikemukakan pada harga yang terbaik.


“Pihak kerajaan negeri juga berterima kasih di atas penglibatan Jabatan Perumahan Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  serta syarikat lain  di bawah Kementerian Kewangan iaitu Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Juga kepada anak syarikat kerajaan negeri sendiri iaitu Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang turut serta mempamer dan menawarkan  produk,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap agar semua rakyat dapat  mengambil sebanyak mungkin manfaat daripada ekspo ini  untuk mengetahui selok belok mengenai perumahan dan hartanah.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: