Sunday, 14 October 2018

Terengganu Destinasi Pelancongan Islamik - Dr Samsuri

SHARE
Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu,Tun Baharom Tun Abdul Razak (kanan) menurunkan tandatangan aku janji sambil diperhatikan oleh Ustaz Sulaiman Sulong (tengah) dan Pengerusi Tourism Productivity Nexus, Uzaidi Udanis (kiri). 
KUALA TERENGGANU - Negeri Terengganu telah menerima anugerah ‘Islamic Quality Standard’ yang sekaligus diiktriraf sebagai destinasi mesra Muslim.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, anugerah itu suatu pengiktirafan yang cukup membanggakan negeri dan rakyat Terengganu.

“Saya sangat berbangga kerana Negeri Terengganu telah menerima anugerah itu daripada Universal Crescent Standard Centre dan Universiti Teknologi Mara.

“Anugerah ini selari dengan usaha kerajaan negeri untuk menjenamakan semula Terengganu sebagai pusat pelancongan Islamik,” ujarnya.



Teks ucapan Menteri Besar itu dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Sulaiman Sulong, ketika merasmikan Tourism Productivity Day dan Showcasing Tourism Products Terengganu, di Dewan Gamelan, Primula Hotel, Kuala Terengganu, hari ini (14 Oktober).

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Terengganu komited untuk terus mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mempergiatkan usaha bagi memperbanyakkan produk pelancongan baharu serta menambahbaik produk-produk sedia ada.

Katanya, produk pelancongan baharu seperti ‘Dapo Pata’ yang berkonsepkan ‘kitchen-by-the-beach’ mendapat sambutan baik dari para pelancong di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.

“Promosi utama kerajaan negeri adalah melalui portal ‘Beautiful Terengganu’ yang mengandungi maklumat aset-aset pelancongan yang unik dari eko-pelancongan, kebudayaan dan warisan.

“Antaranya pertama, Tasik Kenyir Terengganu mempunyai tasik terbesar dan tertinggi dengan pulau pedalaman terbanyak di Malaysia.

“Kedua, Pulau Redang dan Pulau Perhentian merupakan antara pusat menyelam yang terbaik di dunia.

“Ketiga, terdapat kawasan fosil zaman batu yang membuktikan penempatan zaman purba seawal 8,000 hingga 20,000 tahun yang lalu ditemui di Terengganu.

“Dan keempat, Festival Peranakan tahunan yang memaparkan budaya dan keunikan masyarakat peranakan Cina Negeri Terengganu dikenali sebagai Festival Mek dan Awang, mulai tahun 2019,” jelasnya.



Selain itu, katanya, kemudahan infrastruktur yang lebih berkesan akan terus diberi penekanan seperti memperbanyakkan jumlah penerbangan ke Terengganu.

Dr Ahmad Samsuri berharap agar usaha-usaha penambahbaikan yang berterusan akan dapat menyumbang kepada sasaran pertumbuhan sektor pelancongan negara.

“Kita (Terengganu) berharap akan dapat menyumbang kepada sasaran pertumbuhan sektor pelancongan negara iaitu seramai 30 juta kedatangan pelancong dan sejumlah RM100 bilion pendapatan pelancongan menjelang tahun 2020,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, kerajaan dan penggiat industri pelancongan perlu mengenal pasti dan mengambil peluang-peluang baharu bagi meningkatkan pertumbuhan sektor pelancongan.

Beliau yakin dan percaya bahawa program ‘Showcasing Tourism Products’ ini adalah salah satu platform ke arah mencapai matlamat tersebut.

SHARE

Author: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: