Thursday, 18 October 2018

Terengganu Cadang Larangan Penggunaan Plastik

SHARE
Dr Alias merasmikan Program Cakna Alam Sekitar
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Kerajaan negeri bercadang melaksanakan larangan penggunaan plastik bagi menangani kesan  terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata larangan penggunaaan produk itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula tahun depan dan berkemungkinan akan diharamkan pada 2021.


Katanya, sebagai permulaan, pihaknya  mengadakan pelbagai kempen kesedaran di pasaraya dan restoran berkaitan  penggunaan plastik termasuk  meneruskan kadar bayaran RM0.20 kepada pelanggan pasaraya pada setiap Sabtu.

“Tindakan itu bertujuan mahu mendidik orang ramai betapa pentingnya  penjagaan alam sekitar, selain mengelak penyakit berbahaya berpunca daripada plastik termasuk kanser,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program  Cakna Alam Sekitar Sempena Hari Alam Sekitar Negara, di Perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini.


Dr Alias turut memberitahu setiap lapisan masyarakat perlu berganding bahu melindungi alam sekitar, termasuk  bertindak sebagai mata dan teliga untuk membantu memantau aktiviti berpotensi mencemarkan alam sekitar.

“Tanggungjawab bersama ini sangat penting kerana kadang-kala kita mudah lupa bahawa tindakan yang dilakukan demi mengejar pembangunan boleh mengundang kemerosotan kualiti alam,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Syah Muhamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Muhhibah Selamat, .

SHARE

Author: verified_user

0 komen: