Saturday, 20 October 2018

Terengganu Bawa Bincang Dalam ECER

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
DUNGUN, 20 Oktober - Kerajaan Terengganu menyambut baik dan mengalu-alukan kenyataan positif Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu memberi keadilan termasuk kepada negeri dikuasai pembangkang.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu akan dibincang secara terperinci dalam mesyuarat ECER bersama Perdana Menteri itu pada 31 Oktober ini.

Menurutnya, Mesyuarat Pembangunan Wilayah ECER itu akan melibatkan tiga Menteri besar dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Terengganu mengalu-alukan pemakluman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu, yang membuat kenyataannya untuk memberi pembangunan yang saksama di negeri-negeri dikuasai pembangkang termasuklah Terengganu, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Perkara itu akan kita bincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat ECER yang akan diadakan bersama Tun Dr Mahathir (Perdana Menteri) dengan tiga Menteri Besar di wilayah ECER ini iaitu Menteri Besar Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 31 Oktober ini di Putrajaya.

“Saya percaya, sebahagian apa yang dibentangkan oleh Perdana Menteri itu kelmarin adalah secara dasar (sahaja) dan akan diperincikan dalam mesyuarat pertama ECER itu nanti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Amal Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, di Dewan Arena Square, Dataran Merdeka, Dungun, semalam.

Kenyataan Perdana Menteri ketika membentang laporan separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) adalah untuk memperbaiki hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri atas semangat federalisma.

“Sudah tentu hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat dalam konsep federalisma itu turut memberi maksud, sebarang perjanjian yang dipersetujui sebelum ini haruslah dihormati dan dilaksanakan.

“Isu royalti ini menjadi sebahagian dari perkara yang dipersetujui dalam perjanjian, saya percaya ianya merangkumi perkara itu,” jelasnya.


Ketika ditanya wakil media tentang bayaran royalti, Dr Ahmad Samsuri berkata, beliau masih menunggu laporan terperinci jumlah keseluruhan yang patut diperolehi.

“Buat masa ini untuk keadaan (royalti) di Negeri Terengganu, sebagaimana yang saya sebut dahulu, sudah ada keputusan Majlis Kewangan Negara, bahawa pembayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau royalti itu akan diberi terus kepada kerajaan negeri (Terengganu).

“Tanpa membezakan fahaman politik, sama ada kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri dari parti yang sama ataupun tidak, itu keputusan awal yang dipersetujui pada awal pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri. 

“Kita (Terengganu) mengalu-alukan keputusan itu. Pada tahap ini, saya boleh nyatakan bahawa kita ada menerima sebahagian daripada wang berkenaan, walaupun masih lagi dalam proses mendapat jumlahnya yang sebenar.

“Sebab, kita pun perlu tahu jumlah sebenar yang diperolehi berdasarkan lima peratus yang dipersetujui dalam perjanjian sebelum itu. Setakat ini ada terima sedikit-sedikit secara beruncit walaupun kita masih menunggu jumlah sebenarnya yang patut diterima setahun,” ujarnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, kajian separuh penggal RMK11 itu adalah pada tahun ini, setelah dinilai pencapaiannya dari tahun 2016 hingga 2018.

SHARE

Author: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: