Saturday, 6 October 2018

TDI Bantu Kos Perubatan Mangsa Kemalangan

SHARE
Mohd Aiman menunjukkan keadaan anggota kakinya yang patah tiga akibat kemalangan lebih setahun lalu
KUALA NERUS - Tabung Darul Iman (TDI) kini semakin dekat di hati masyarakat terutama kepada para penerimanya dari kalangan rakyat berpendapatan rendah.

Tinjauan wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) kali ini berkunjung ke rumah seorang pelajar yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Mohd Aiman Masuti, 17, kini masih terlantar di pembaringan akibat kemalangan jalan raya lebih setahun yang lalu.

Menurutnya, akibat kemalangan yang tragis itu, anak sepupunya turut terkorban maut.

“Sepatutnya, saya ambil peperiksaan SPM tahun ini, tetapi terpaksa melupakan dahulu kerana masih dalam proses rawatan dengan pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Saya kemalangan pada 14 April 2017 tahun lalu. Saya bersama anak sepupu ketika itu sedang membonceng motosikal daripada Kampung Padang Air ke Tok Jiring ini.

“Malangnya, beliau (Allahyarham) anak sepupu saya itu meninggal dunia dan saya masih dipanjangkan umur oleh Allah SWT,” ujarnya ketika ditemui di rumah beliau di Kampung Tok Jiring, Tepoh.

Kata Aiman, beliau bersyukur kerana Allah masih panjangkan umurnya selepas kemalangan yang kuat antara motosikal dengan kenderaan pacuan empat roda itu.

“Alhamdulillah, bersyukur kerana saya masih hidup. Saya patah tiga anggota badan iaitu kaki (betis), peha dan tangan.

“Oleh kerana tulang peha tidak tumbuh semula sejak satu tahun lalu, proses kedua ‘menanam’ sejenis baja khas untuk tulang yang menelan belanja RM12,300.

“Sumbangan dan bantuan daripada Tabung Darul Iman (TDI) kami terima sebanyak RM11,300. Alhamdulillah, semoga negeri Terengganu ini menjadi lebih ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’ lagi,” jelasnya selaku anak pertama dari lima orang adik-beradik.

Menurutnya, pembedahan bagi menanam baja tulang itu dibuat pada 18 September 2018 lalu di HSNZ Kuala Terengganu.

Sementara itu, bapanya Masuti Ismail, 52, hanyalah seorang peniaga kecil-kecilan yang mempunyai seorang isteri dan lima orang anak.

SHARE

Penulis: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: