Friday, 19 October 2018

Tawaran Tempat Berteduh Istimewa

SHARE
Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika berucap merasmikan Karnival Jom Ke Masjid Kali Ke-7. Foto - Syaharulhafizi Shamsudin
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid akan mendapat tempat berteduh yang tiada galang ganti iaitu mendapat naungan Allah di padang mahsyar kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, Kerajaan Negeri Terengganu menyeru rakyat Terengganu khususnya untuk memakmurkan masjid sekaligus merealisasikan agenda Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Katanya, program seumpama ini bertujuan untuk memahamkan masyarakat tentang peranan masjid yang bukan berfungsi sebagai tempat untuk solat semata-mata.

"Bahkan masjid berperanan besar untuk menyatukan ummah dan mendekatkan masyakarat kepada asas pembinaan masjid iaitu takwa.

"Orang yang memakmurkan masjid memiliki sifat-sifat terpuji termasuk dia beriman kepada Allah yang merupakan asas kepada keimanan.


"Di samping itu, dia yakin kepada hari akhirat. Orang yang sibuk dengan dunia akan menjadikan kita lupa tentang adanya perhitungan dosa dan pahala, tentang ganjaran syurga dan balasan neraka," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jom Ke Masjid Kali Ke-7 di Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu (18 Oktober).

Dalam perkembangan yang sama, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung turut mengucapkan tahniah kepada penganjur yang menyusun program ini setiap tahun.

"Program seumpama ini adalah dakwah, seruan kepada pembinaan masyarakat yang sejahtera dan hidup dalam keberkatan.

"Mudah-mudahan program ini diteruskan kerana masjid mendekatkan diri kita dengan al-Quran dan majlis ilmu.

"Justeru, marilah sama-sama kita mengimarahkan rumah Allah ini," katanya.

Beliau turut menyempurnakan gimik perasmian karnival tersebut.

Antara aktiviti menarik yang dilangsungkan semalam adalah Forum Perdana melibatkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus serta Ustaz Haslin dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) negeri, Ustaz Kamaruzaman Abdullah selaku moderator.


Ribuan hadir memeriahkan tapak karnival di Masjid Jamek Pengadang Baru, semalam.

Turut diadakan gerai jualan dan aktiviti-aktiviti akan terus berlangsung sehingga Sabtu 20 Oktober.

Antaranya adalah pertandingan mewarna, sukaneka muslimat, sukaneka pemuda, persembahan nasyid dan sebagainya.

Majlis penutup akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman, Sabtu ini.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: