Saturday, 13 October 2018

Sukan Negara Pupuk Budaya Hidup Sihat - Alias Razak

SHARE
Dr Alias Razak menyempurnakan gimik perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Kuala Nerus 2018.
Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS - Hari Sukan Negara adalah penting dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara-negara maju.

“Budaya sukan secara tidak langsung dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Pembangunan ekonomi negara juga turut mendapat implikasi yang baik melalui pembangunan industri sukan.

"Justeru, ayuhlah sama-sama kita memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara pada tahun ini dengan aktiviti yang menyihatkan badan," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara dan Car Free Hour peringkat Daerah Kuala Nerus bagi tahun 2018 di Kompleks Sukan Gong Badak Kuala Nerus, hari ini (13 Oktober).

Dalam perkembangan yang sama, menurut Dr Alias Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, sambutan Hari Sukan Negara merupakan suatu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan.

"Ia adalah suatu langkah proaktif di dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’.

"Sambutan ini diisytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun," jelasnya.

Tambah beliau, antara objektif Hari Sukan Negara ialah untuk memupuk semangat perpaduan antara semua kaum selain dapat meningkatkan pengetahuan sukan.

"Ia juga bertujuan untuk menerapkan budaya sukan dalam kalangan rakyat," ucapnya.

Majlis dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara dan aktiviti seperti Fun Ride 25 Km, Fun Run, Fun Walk, manakala acara sukan yang dianjurkan ialah Shoot Bola Jaring, Sepak Gol Kecik, Sukaneka, Car Boot Sale.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mengambil bahagian dalam aktiviti cabutan bertuah yang disediakan pihak penganjur.


Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: