Sunday, 21 October 2018

Siap Sedia Hadapi Musim Tidak Menentu

SHARE



Oleh: Mohd Asraf

Dungun - Kedudukan Malaysia di atas garisan khatulistiwa menjadikan negara ini menerima musim panas dan hujan sepanjang tahun serta adakalanya cuaca yang tidak menentu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Haji Wan Hapandi Wan Nik berkata, saban tahun Malaysia pasti akan menerima taburan hujan yang banyak terutama apabila di penghujung tahun dan kerajaan turut bersiap sedia menghadapi keadaan tersebut.

“Sebelum menjadi kerajaan negeri lagi, kita selalu bersiap sedia dengan segala keupayaan yang ada untuk membantu rakyat terutamanya mereka yang tiada kemampuan.

“Hari ini kita sudah menjadi kerajaan negeri dan kita tetap akan meneruskan apa yang kita lakukan dahulu cumanya sekarang kita akan menggerakkan jentera-jentera hebat yang kita ada untuk memudahkan lagi urusan menyelamat," kata beliau semasa merasmikan Taklimat Pengurusan dan Bantuan Menghadapi Bencana Banjir Daerah Dungun Tahun 2018, di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun, di sini, 20 Oktober.



Wan Hapandi juga memberitahu, ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memainkan peranan sebelum berlaku banjir atau bencana alam lagi.

“Semua ahli jawatankuasa MPKK perlu peka dengan keadaan sekeliling serta warga kampung dibawah seliaan masing masing supaya kita dapat mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Sehubungan itu, agensi agensi dari kerajaan seperti Agensi Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis DiRaja Malaysia dan agensi lain akan bersama-sama membantu ketika berlakunya banjir atau bencana alam.

Dalam taklimat tersebut, APM dan JKM akan memastikan pengurusan semasa berlaku bencana akan berjalan dengan lancar dan sistematik.

Turut hadir dalam taklimat tersebut ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari seluruh Dungun.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: