Wednesday, 31 October 2018

RMM Cecah 112,000 Pemohon

SHARE
Dr Alias Razak berucap merasmikan REHDA Members' Day Cum Outreach Programme.
Oleh: Safwan Syakir

KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Jumlah permohonan RMM buat masa ini mencecah 112,000 pemohon dan akan ditapis mengikut kelayakan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, Kerajaan Terengganu dan pihak pemaju sektor perumahan akan bekerjasama bagi menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Menurutnya, kira-kira 20,000 unit rumah mampu milik (RMM) akan dibina dalam tempoh setahun berbanding hanya 1,000 unit yang dibina pada masa pemerintahan kerajaan yang lalu.

"Kerajaan akan mengenal pasti punca permasalahan yang merencatkan proses pembinaan projek RMM yang lalu.

"Kerajaan pusat juga turut berjanji akan membina 1 juta unit rumah di seluruh negara dan insya-Allah kita harap ianya akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Terengganu yang layak memohon," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan REHDA Members' Day Cum Outreach Programme di Hotel Primula Kuala Terengganu, baru-baru ini (28 Oktober).

Dalam perkembangan yang sama, Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM 50 juta bagi menyediakan tabung pinjaman perumahan bagi pemohon yang tidak mendapat kelulusan pinjaman daripada pihak bank atas faktor slip gaji dan sebagainya.

"Kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM 400 juta setahun untuk menyediakan khidmat wad kelas ketiga percuma untuk rakyat di Terengganu di semua hospital kerajaan.

"Manakala RM10 hingga RM15 juta akan dibelanjakan setahun untuk memberi kemudahan kad sejahtera kepada rakyat Terengganu yang layak sebagaimana dalam janji manifesto PRU yang lepas.


"Di samping itu, kerajaan dalam proses untuk membuka lembah silika di Marang, yang mana secara langsung dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya.

"Justeru, kerajaan juga akan berkerjasama dengan pihak swasta dan pemain industri berkenaan serta pelabur daripada dalam dan luar dengan mengambil pandangan mereka bagi memacu pembangunan yang sihat di negeri ini," ujarnya.

Hadir sama, Pengerusi REHDA Terengganu, Haji Mohamad Hishamudin dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin REHDA Malaysia, Datuk Haji Muztaza Mohamad.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: