Tuesday, 16 October 2018

Rakyat Perlu Intai Peluang Kebajikan Dari Kerajaan - Ridzuan Hashim

SHARE
Ustaz Ridzuan Hashim meninjau kaunter KWSP yang dibuka dalam Program i-SURI Peringkat Daerah Kuala Terengganu.
Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU - Rakyat diminta untuk lebih prihatin terhadap makluman yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan agar tidak tertinggal peluang kebajikan yang ditawarkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kerajaan sentiasa menyalurkan bantuan secara berperingkat terutamanya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Tabung Darul Iman (TDI).


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program i-SURI Peringkat Daerah Kuala Terengganu yang dianjurkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading di Dewan Sivik Kampung Buluh Gading, hari ini (15 Oktober).

Peserta yang terpilih berasaskan kepada data e-Kasih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Ustaz Ridzuan Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, setiap peserta disyaratkan untuk mencarum sebanyak RM5 manakala pihak kerajaan sebanyak RM40.

“Bayaran caruman boleh dibayar di pejabat KWSP, bank-bank terpilih dan juga melalui ‘online banking’ iaitu maybank2u dan Public Bank.

“Dalam bajet 2019 nanti, sebahagian manifesto akan ditunaikan. Antaranya caj percuma untuk wad kelas tiga dan kad sejahtera yang bernilai RM500.

“Sebanyak RM3.8 juta telah dibelanjakan melalui Tabung Darul Iman (TDI) bermula Januari sehingga Ogos tahun ini untuk bantuan penyakit kronik dan musibah," ujar beliau lagi.


Katanya, hampir dua juta ringgit telah berjaya dikumpulkan pada malam tadi hasil sumbangan ‘Government Linked Company’ (GLC) dan orang perseorangan dalam satu majlis makan malam pengumpulan dana Tabung Darul Iman (TDI).

“Ada tiga program penting dalam masa terdekat ini iaitu bantuan pakaian sekolah untuk sesi 2019, berkhatan percuma beramai-ramai dan karnival perkahwinan. Ambillah peluang kebajikan ini yang semuanya dibuat untuk rakyat," tambah beliau lagi.

Turut hadir, Ketua Perkhidmatan KWSP Kuala Terengganu, Mohd Sabri Hussin, Penasihat Persaraan KWSP Kuala Terengganu, Mohd Fazlee Alwi dan Ketua Penyelia i-MiTS Kawasan Kuala Nerus, Jusoh Ngah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: