Wednesday, 17 October 2018

Rakyat Perlu Beri Pandangan Rancangan Pembangunan Negeri

SHARE
Dr Alias bersama Datuk Bandar MBKT merasmikan draf RT.
KUALA TERENGGANU - Orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dinasihatkan dapat mengemukakan cadangan atau bantahan terhadap Draf Rancangan Tempatan (RT) bagi kedua-dua daerah tersebut dalam tempoh publisiti ia dibentangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sebarang maklum balas dapat membantu kelancaran projek pembangunan kerajaan di kawasan tersebut.

"Draf RT akan dipamerkan selama empat minggu bermula semalam (15 Oktober) sehingga 16 November 2018.

"Jadi, kita amat berharap agar semua pihak terutama tuan tanah, pemaju, pengusaha dan penduduk yang tinggal di dua daerah ini dapat membuat semakan.

"Langkah ini perlu supaya tidak berlaku kerumitan selepas ia diwartakan nanti," katanya ketika merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RT Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus 2035 di Dewan Tunku Abdul Rahman, semalam (16 Oktober).

Pameran draf diadakan di beberapa lokasi memudahkan orang ramai.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang orang awam meneliti dan memahami pelan perancang tempatan.

Draf RT secara umum mencadangkan pembangunan 10 projek di kedua-dua daerah bagi meningkatkan imej dan pengukuhan pembangunan kawasan itu.

Semakan RT boleh dibuat di empat lokasi tetap iaitu di lobi Menara Permint (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu), tingkat empat Wisma Negeri (PLANMalaysia Terengganu), lobi utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu serta lobi utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.

Hebahan dan notis akhbar turut disiarkan selain semakan bergerak akan mengunjungi 10 lokasi di Kuala Terengganu dan tujuh di Kuala Nerus.

Dr Alias mengingatkan semakan ini penting selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 di mana pembangunan sosial dan ekonomi hendaklah melalui penglibatan rakyat dan kerajaan negeri.

"Kerjasama semua diperlukan bagi menjamin kesejahteraan pembangunan. Semoga dengan kerjasama semua pihak akan menjadikan kedua-dua daerah ini menjadi bandaraya warisan pesisir air yang dinamik, berdaya huni dan mampan," katanya.

Sebarang maklum balas boleh dibuat secara rasmi melalui borang yang disediakan atau melalui surat rasmi kepada Datuk Bandar MBKT  atau Pengarah PLANMalaysia (Terengganu).

Laman sesawang dan laman Facebook PLANMalaysia Terengganu, MBKT, pejabat daerah dan PLANMalaysia turut memaparkan maklumat berkenaan RT untuk memudahkan orang ramai.

Publisiti bertujuan mendapatkan maklum balas rakyat terhadap perancangan kerajaan.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: