Thursday, 4 October 2018

Qas Tailor Sambung Legasi Keluarga

SHARE

YB Mohd Nor sempat menyaksikan demontrasi jahitan ketika merasmikan kedai jahit Qas Tailor di Bukit Payung.
MARANG - Ketika remaja lain melepaskan tekanan belajar dengan bersuka ria selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak bagi Nur Qasrina Mohd Laji, 18, apabila sudah merencanakan masa depannya untuk berjaya pada usia muda walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Pengalaman membesar dalam keluarga yang berlatar belakangkan dunia perniagaan menjadikan dirinya lebih matang berbanding rakan-rakan sebaya yang lain.

Nur Qasrina
Anak kepada pasangan suami isteri, Mohd Laji Mamat, 50, dan Aida A.Rahman, 48,  yang merupakan pemilik Jie Shop berkata, semangatnya untuk menceburi perniagaan bermula sejak kecil tatkala melihat kejayaan ibu bapanya dan bercita-cita menjadi ahli peniagaan yang berjaya malah lebih hebat daripada yang dijalankan oleh keluarganya sehingga mampu menembusi pasaran antrabangsa.

Dia juga tidak pernah menyesal dengan pilihannya dan jika berpeluang menyambung pelajaran satu masa nanti dia akan memilih bidang perniagaan bagi meluaskan pengetahuannya serta memantapkan kemahiran di bidang itu.

“Sebaik tamat SPM, saya mula mengintai peluang perniagaan termasuk di luar negara yang sesuai untuk saya ceburi dan memilih bidang jahitan pakaian siap berbanding perniagaan tempahan pakaian yang dijalankan oleh ayah.

“Saya ada kelebihan bila memilih bidang ini apabila mendapat sokongan seratus peratus daripada ibu dan ayah. Dalam tempoh tiga bulan pertama ini, saya dalam proses menyiapkan seribu pasang baju Melayu untuk dijual pada Aidilfitri tahun hadapan termasuk seratus pasang kot yang siap dijahit,”katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis perasmian Qas Tailor di Bukit Payong, di sini,  hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah.


Sementara itu, Mohd Nor ketika merasmikan Qas Tailor berkata, dalam perniagaaan perlu menekankan dua perkara untuk menjadi usahawan yang berjaya dan diberkati dalam setiap urusniaga yang dilaksanakan dengan pelanggan.

“Yang pertama, kita perlu ikhlas kepada Allah SWT tentang niat untuk kita berniaga dan keduanya menjalankan perniagaan mengikut syariat dalam Islam.

“Jangan sesekali menipu kerana ia akan menyebabkan kita hilang keberkatan dalam perniagaan yang dijalankan itu,”katanya.


Dalam pada itu, bapa kepada Nur Qasrina, Mohd Laji berkata, dia dan isteri tidak pernah menghalang kemahuan anak ketiganya dari lima beradik kerana yakin dia mampu berjaya dalam bidang yang diceburi.

“Sebagai ayah sudah tentu saya menyokong penuh pilihan Nur Qasrina tetapi ada syaratnya iaitu dia harus lebih hebat dari perniagaan yang saya jalankan selama 25 tahun.

“Saya mahu lihat dia menembusi pasaran antarabangsa melalui kemahirannya, pengetahuannya dalam memasarkan hasil produk secara atas talian yang lebih hebat jika dibandingkan dengan cara saya menjalankan perniagaan untuk sampai ke tahap ini.”ujar Mohd Laji.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: