Tuesday, 23 October 2018

Program i-Suri Jamin Masa Depan Wanita

SHARE
 Ustaz Ahmad Shah Muhamed 
Oleh: Syed Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober 2018 - Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dilihat sebagai inisiatif yang dapat menjamin masa depan golongan wanita daripada sudut kewangan agar sentiasa bersedia  menghadapi suasana terdesak di masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, ini merupakan salah satu platfom yang disediakan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat mampu menyimpan kewangan mereka di dalam KWSP melalui program i-Suri.

“Mereka yang telah mendaftar melalui program e-Kasih layak untuk mengikuti program i-Suri ini dengan mendaftar terus melalui pejabat KWSP atau boleh ke Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bandar untuk kita bantu daftar.

“Sambutan yang baik dari masyarakat menandakan rakyat sentiasa menantikan kebajikan dari kerajaan dalam suasana tekanan kos sara hidup,perbelanjaan persekolahan anak yang tinggi serta pendapatan isi rumah yang kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Taklimat I-Suri anjuran i-MiTS Dun Bandar yang diadakan di Dewan Sivik Kampung Tanjung Paya, di sini semalam.


Hampir 50 orang di kalangan suri rumah yang hadir mendengar taklimat yang diadakan oleh wakil Pegawai KWSP itu.

Sebelum ini, KWSP dalam satu kenyataan berkata, pendaftaran i-Suri dan mereka yang layak boleh mendaftar sebagai pencarum dengan mengunjungi mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.

Menurut KWSP, suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profil mereka didaftarkan e-Kasih boleh menyertai i-Suri dan membuat caruman minimum RM5 setiap bulan ke akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan menerima insentif kerajaan RM40 setiap bulan yang dimasukkan ke akaun KWSP masing-masing.



Kenyataan itu berkata statistik e-Kasih menunjukkan 221,890 suri rumah, 98,536 balu dan 28,116 ibu tunggal daripada segmen masyarakat miskin tegar layak menerima insentif kerajaan itu setelah mendaftar untuk i-Suri.

Untuk maklumat lanjut mengenai e-Kasih, orang ramai boleh layari www.kwsp.gov.my atau mengunjungi cawangan KWSP di seluruh negara.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: