Thursday, 25 October 2018

Pok Mi Yakin TFC 1 Julang Kembali Piala Malaysia Sabtu Ini

SHARE
Pok Mi @ Suhaimi Mohamad . Foto : Sumber FB Terengganu Football Club
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Kitman Pasukan Bola Sepak Terengganu yang sekian lama bersama dengan pasukan Terengganu sejak  1995 sehingga kini, Pok Mi atau nama sebenarnya Suhaimi Mohamad menaruh keyakinan tinggi kepada pasukan Terengganu Football Club I (TFC I) untuk menamatkan kemarau 17 tahun menjulang Piala Malaysia pada aksi final di Shah Alam, Sabtu ini.

Katanya, beliau sebagai orang lama yakin bahawa skuad Penyu mampu sekali lagi membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu setelah kali terakhir ianya hadir pada  2001 malah kejayaan TFC1 mara ke final Piala Malaysia dalam tempoh tujuh tahun telah membangkitkan keghairahan lebih 1.25 juta rakyat negeri tersebut.

“Saya berkeyakinan tinggi TFC I mampu merealisasikan impian rakyat Terengganu untuk membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini setelah sekian lama menunggu untuk sejarah tercipta kembali.

“Malah saya yakin  dengan kemampuan anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim dapat mengekalkan persembahan terbaik yang telah dipamerkan sejak pada peringkat kumpulan Piala Malaysia lagi ditambah dengan sokongan rakyat Terengganu yang menantikan Piala Malaysia diarak masuk kembali ke negeri sang Penyu ini dengan penuh kebanggaan,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Pok Mi diibaratkan bintang lagenda bola sepak Terengganu, telah berkhidmat sebagai Kitman hampir 23 tahun bersama skuad Penyu ini merupakan tulang belakang kepada pasukan dalam semua aspek perancangan setiap latihan dan beberapa tambahan tugas sebelum dan selepas latihan termasuk penyediaan pakaian, makanan dan minuman, pengurusan masa dan sebagainya bagi menjamin kesempurnaan pasukan di bawah penyeliaanya.

Sekali lagi pada Sabtu ini, di Stadium Shah Alam dalam catatan sejarah bola sepak, Terengganu akan beraksi di  final Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan agregat 3-2 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua kejohanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor baru-baru ini.

Terengganu layak selepas mereka memiliki kelebihan satu jaringan setelah menewaskan JDT 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 6 Oktober lalu.

Menurut  rekod, Terengganu berjaya bergelar juara Piala Malaysia pada tahun 2001 dan tarikh keramat 3 November 2001 pasti diingati oleh semua penyokong skuad penyu yang menyaksikan mereka menewaskan Perak 2-1 di Stadium Bukit Jalil untuk membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kalinya ke bumi Terengganu.

Terengganu mencipta sejarah baru dalam kancah bola sepak Piala Malaysia apabila menjulang trofi paling berprestij itu buat pertama kali dalam tempoh 80 tahun, selepas menewaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam itu.

Perlawanan itu adalah percubaan kali keempat Terengganu sepanjang tempoh kempen Piala HMS Malaya yang bermula pada 1921 dan Piala Malaysia pada 1967. Kali terakhir TFC I mara ke final Piala Malaysia adalah pada 2011, namun dikecewakan oleh Negeri Sembilan.





SHARE

Author: verified_user

0 komen: