Tuesday, 2 October 2018

Pertandingan Bubur Asyura Perpaduan Eratkan Ukhuwah

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN - Pertandingan Bubur Asyura Perpaduan yang diadakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mengeratkan ukhuwah dan jalinan kerjasama yang baik di antara setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, objektif mengadakan pertandingan itu bukan semata-mata untuk merebut kejayaan apa yang paling penting adalah menonjolkan elemen positif diantara penduduk setempat.

"Pertandingan Bubur Asyura Perpaduan ini dilakukan di MPKK masing-masing secara serentak dan akhirnya dihantar ke Balairaya Al-Muktafi Billal Shah untuk diadili dan ditentukan juaranya.

"Diantara kriteria bagi menjadi juara bukan semata-mata rasa sedap, aspek keselamatan yang diamalkan turut diberi markah, dan MPKK yang berjaya menghimpunkan ramai ahlinya akan mendapat markah yang tinggi, lebih-lebih lagilah jika berjaya menarik mereka yang dari Parti Barisan Nasional untuk sama-sama menyertai pertandingan Bubur Asyura Perpaduan pada hari itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pertandingan Bubur Asyura Perpaduan yang diadakan di DUN Bukit Besi (28 September).

Katanya, program tersebut berjaya sebagaimana yang diharapkan apabila melihat keterlibatan yang baik diantara penduduk.

"Alhamdulillah, apabila wakil kita yang dipilih dari anggota i-MiTS yang juga bertindak selaku juri dihantar untuk meninjau setiap MPKK di DUN Bukit Besi, dapat dilihat wujud persefahaman di antara penduduk.

"Kejituan semangat diantara penduduk dizahirkan menerusi aktiviti bergotong-royong, saling sepakat dan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan bubur asyura itu layak dipertandingkan," ujarnya.

Menurut Ghazali, pada pertandingan itu tempat pertama telah dimenangi oleh MPKK Besol, tempat kedua MPKK Bukit Besi, serta MPKK Tepus di tempat ketiga.

Katanya, Program Pertandingan Bubur Asyura itu diharapkan sebagai pembuka jalan, untuk diterap dan diserapkan semangat 'kekitaan' dan jalinan muhibbah agar berada dalam keadaan harmoni.

"Dan juga amat diharapkan agar ianya akan memjadi permulaan, agar program-program selepas ini akan sentiasa mendapat sambutan yang baik,” ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: