Monday, 8 October 2018

Perlu Selaras Antara Negeri Dan Persekutuan

SHARE
Haji Yahaya Ali (kiri) dan Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof ketika ditemui di Parlimen Malaysia, hari ini. Foto - Harish Fadzillah
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri perlu diselaraskan dengan mengambil kira semangat dan sistem federalisma di Malaysia.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, ianya penting untuk memastikan perjalanan dewan di semua peringkat berjalan dengan lancar dan teratur.

Menurutnya, banyak perkara dan isu dibincangkan hari ini dalam pertemuan dengan Speaker Parlimen (Dewan Rakyat), Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof.

"Kami bersetuju bahawa baik Parlimen mahupun DUN mesti melaksanakan penambahbaikan untuk menyuburkan amalan demokrasi dalam negara.

"Ianya sekaligus menjadikan peranan badan legislatif lebih efektif.

"Antara yang diberi fokus dalam perbincangan tadi termasuk penubuhan jawatankuasa terpilih (select committee) dan usaha menyelaraskan peraturan tetap dewan (standing orders) di antara Parlimen dan DUN," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini (8 Oktober).

Dalam perkembangan yang sama, Haji Yahaya Ali turut menyampaikan penghargaan kepada Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof.

"Mewakili delegasi, saya cukup berterima kasih dan berbesar hati di atas layanan dan penerimaan kunjungan kami ke sini.

"Mudah-mudahan Parlimen dan DUN Terengganu dapat bekerjasama dengan baik pada masa akan datang insya-Allah," katanya.

Setiausaha Parlimen, Datuk Roosme Hamzah turut memberikan taklimat berhubung perjalanan sidang Parlimen.


Turut hadir sama, kedua-dua isteri Speaker Parlimen dan DUN, Panel Penyelidik, Setiausaha dan pegawai-pegawai DUN Terengganu.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: