Sunday, 21 October 2018

Peristiwa Di Sulawesi, Palu Jadi Pengajaran - Ustaz Satiful

SHARE


Oleh: Muhd Lukman

DUNGUN - Bencana tsunami di Sulawesi dan Palu, Indonesia cukup banyak memberikan peringatan dan pengajaran kepada umat Islam khususnya, kata Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat.

Menurut beliau, sebagai peringatan daripada peristiwa itu, sekiranya manusia melakukan empat perkara, nescaya Allah SWT menurunkan bala bencana kepada kita  tanpa mengira sesiapa sahaja.

"Pertama, apabila kamu berzina secara terang-terangan. Kita Kerajaan Terengganu akan cuba sebaik mungkin untuk menghalang perkara-perkara yang boleh menimbulkan masalah zina kepada masyarakat. Sebab itu kita pihak kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada Mahkamah Syariah untuk melaksanakan bidang kuasa yang mereka miliki. Kedua, apabila kamu minum arak secara terang- terangan.


"Kita tidak menghalang orang bukan Islam minum arak, mereka boleh minum di rumah mereka, tetapi jangan minum di kawasan awam yang mencabar majoriti umat Islam di negara kita. Ini disebabkan kita tahu bahawa perbuatan ini akan membuka pintu bala daripada Allah SWT,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pidato Solidariti Ummah Palestin  di Masjid Lama Sura, di sini, 20 Oktober

Turut hadir, Imam Besar Masjidil Aqsa Palestin, Sheikh Dr E'krima Sa'eed Sabri.

Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka menegaskan bahawa amar makruf nahi mungkar ini merupakan tanggungjawab kita bersama.

Tambah beliau lagi, jangan biarkan maksiat ini berlaku dan menjadi tugas kita untuk menghalang perkara sebegini kerana kita sudah melihat sendiri apa yang menimpa di negara jiran kita.


"Ketiga apabila kamu berniaga tetapi melakukan timbang dan sukat secara zalim.

“Keempat apabila pemimpin - pemimpin kamu mengabaikan hukum Al - Quran malahan mengambil hukum berdasarkan pemikiran sendiri ," kata beliau.


Sehubungan itu juga, menurutnya, Kerajaan Terengganu akan memperkemaskan lagi pelaksanaan syariah di negeri ini tahun hadapan.

“InsyaAllah Kerajaan Terengganu akan memberi komitmen sepenuhnya serta menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk mengukuhkan lagi pelaksanaan syariah dari semasa ke semasa," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Sheikh Dr E'rima yang menyampaikan amanat kepada para jemaah yang hadir.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: