Friday, 5 October 2018

Penyu Siap Sedia Asak Harimau Selatan

SHARE
Pasukan TFC menjalani latihan semalam sebagai persediaan berhadapan dengan JDT, esok.

Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS - Pasukan Terengganu FC (TFC) bersiap sedia berentap melawan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan separuh akhir pertama esok untuk merebut kejuaraan Piala Malaysia 2018.

Jurulatih Pasukan Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pasukan TFC menghormati kekuatan JDT sebagai pasukan yang terbaik di negara buat masa ini.

Namun, katanya, untuk mengalahkan pasukan tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil.

"Mengikut rekod yang lepas, JDT pernah tewas di tangan Pahang dan beberapa pasukan yang lain sewaktu saya mengendalikan pasukan tersebut.

"Insya-Allah, dengan semangat dan moral yang ada, pasukan kami berada dalam prestasi terbaik.

"Kami akan menggunakan sebaik mungkin peluang bermain di laman sendiri dengan harapan dan sokongan padu daripada penyokong-penyokong TFC," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Padang C, Stadium Tertutup Gong Badak selepas menjalani latihan, semalam (4 Oktober).

Perlawanan separuh akhir pertama tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok (6 Oktober).

Irfan Bakti turut mengingatkan semua pemain agar fokus sepenuhnya dan memberi tentangan yang sengit kepada pasukan lawan.


Sementara itu, Kapten Pasukan Terengganu, Tchetche Kipre meniupkan semangat juang kepada pasukan dan kesebelasan utama.

"Kami akan bermain dengan sepenuh tenaga walaupun beberapa pemain tidak boleh beraksi akibat kecederaan.

"Ketiadaan Nasrullah Hanif Johan (penggantungan) serta Wan Ahmad Amirzafran (cedera) tidak akan mematahkan semangat pasukan yang lain," jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, pemain pertahanan tengah, Anas juga menambah, pasukan TFC perlu menang perlawanan pada Sabtu ini untuk bekalan yang selesa sebelum bertandang ke JDT untuk perlawanan separuh akhir kedua.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: