Sunday, 14 October 2018

Penguatkuasa Pantau Pulau Redang

SHARE
Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Nik Zulhaiza Ismail.
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu memandang serius agar gejala sosial dapat dibendung dengan menyekat sebarang aktiviti yang menjurus kepada kemaksiatan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Nik Zulhaiza Ismail berkata, pemantauan pihak penguatkuasa syariah dibuat bagi membendung gejala tidak sihat di Pulau Redang.

Katanya, pemantauan dibuat ekoran promosi yang dibuat oleh penganjur Island Music Festival di media sosial.

“Pada malam ini, bahagian penguatkuasaan dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Daerah Kuala Terengganu seramai 24 orang telah datang ke Pulau Redang ini untuk membuat pemantauan ekoran promosi yang dibuat oleh penganjur Island Music Festival.

“Hasil pemantauan ini, kita dapati tidak ada aktiviti yang diiklankan itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang akur dan patuh kepada arahan kerajaan negeri yang tidak membenarkan penganjuran ini dibuat.

“Kerajaan negeri hari ini tidak mahu rakyatnya terlibat dengan aktiviti-aktiviti maksiat yang kita jangkakan, sekiranya aktiviti program itu diadakan sudah tentu ramai daripada orang-orang Islam sendiri terutama di kalangan belia akan turut serta berpesta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan di lokasi Island Music Festival, Long Beach Pulau Redang, di sini, 13 Oktober lalu.

Ketika ditanya, jika program itu diteruskan bagaimana tindakan pihak berkuasa agama, katanya terdapat dua peruntukan undang-undang berkait perkara tersebut.

“Kita ada dua peruntukan, pertama di bawah Seksyen 22 iaitu meminum minuman yang memabukkan. Jika ada orang Islam yang minum minuman keras, kita akan buat tangkapan.  

“Kedua, kita lihat kepada pakaian yang tidak sopan dan peruntukan di bawah Seksyen 35. Mana-mana orang Islam yang memakai pakaian yang tidak sopan boleh diambil tindakan,” tegasnya.

Namun, kata Nik Zulhaiza, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Beliau mengingatkan pihak penganjur pada masa akan datang agar dapat membuat permohonan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jika mahu dibuat sebarang penganjuran hiburan.

“Saya nasihatkan kepada mana-mana pihak yang hendak mengadakan apa-apa aktiviti dan program yang berbentuk hiburan, sama ada di pulau atau di mana-mana tempat di negeri Terengganu, perlu memohon kepada pihak PBT. Sekiranya permohonan ditolak, hendaklah akur,” ujarnya.  

SHARE

Author: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: