Wednesday, 3 October 2018

Pendidikan Islam Jadi Teras Kemajuan

SHARE
Wan Hapandi memberi kata kata semangat kepada pelajar pelajar Tingkatan Tiga yang mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga.

Oleh: Mohd Asraf

Dungun - Kejayaan sesebuah negara diukur melalui tahap pendidikan rakyatnya yang mengutamakan kepentingan agama melebihi perkara lain bagi mencapai negara maju dan kelas pertama, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Haji Wan Hapandi Wan Nik.

Menurutnya, di negara maju, banyak masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakatnya kerana tidak menekankan aspek agama dan pendidikan moral.

“Jadi, apa yang kita mahu bukanlah negara maju sahaja bahkan negara yang rakyatnya arif serta berilmu terutama ilmu agama kerana ilmu agamalah yang akan memacu sesebuah negara menuju ke jalan yang diredhai Allah Taala”, kata beliau ketika ditemui bagi memberi suntikan semangat kepada pelajar Tingkatan Tiga yang menghadapi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), di sekitar DUN Sura, di sini, pada 3 Oktober.



Tambah beliau lagi, kecemerlangan seseorang individu itu bukanlah semata-mata diukur dengan akademik namun ia haruslah selari dengan pendidikan agama juga.

“Hari ini kita melihat zaman dimana semua orang ingin menjadi viral, terkenal bahkan ada yang sanggup menggadai maruah dan yang lebih menakutkan, membelakangkan agama kerana ingin dikenali ramai semata mata mencari habuan dunia.

“Pelajar pelajar perlu memahami, cemerlang didunia sahaja tidak mencukupi bahkan cemerlang diakhirat adalah yang utama selaras dengan tuntutan agama kita”, katanya.

Dalam perkembangan yang lain, beliau menjelaskan mengenai kedatangan artis kontroversi yang dikatakan akan membuat persembahan di Terengganu, bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan dan panduan untuk sebarang aktiviti yang melibatkan pertunjukan dan promosi.

“Kerajaan negeri tidak akan berkrompomi dengan mana mana penganjur yang tidak mengikut arahan kita.

“Kita tegas dengan dasar-dasar Islam yang telah ditetapkan untuk apa jua hiburan dan persembahan;" katanya.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: