Monday, 15 October 2018

Pelancong Datang Bukan Mahu Minum Arak

SHARE
Dr Haji Alias Razak.
KUALA NERUS - Kerajaan Negeri Terengganu percaya ada pihak tertentu cuba menimbulkan suasana tidak baik apabila menggambarkan kerajaan seolah-olah membiarkan mereka mengadakan pesta maksiat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Haji Alias Razak berkata, ada pihak mengeluarkan iklan secara maya seolah-olah kerajaan negeri membenarkan penganjuran festival maksiat sedangkan tidak ada sebarang kebenaran diberikan untuk penganjuran seumpama itu.

"Ada siar iklan di alam maya seolah-olah kerajaan telah memberi kelulusan sedangkan tidak ada sebarang kelulusan diberikan untuk penganjuran maksiat.

"Ini yang susahnya, teknologi moden sekarang tidak boleh menghalang penyiaran iklan seumpama itu di alam maya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pihak tertentu menyiarkan iklan berbentuk video menjolok mata di alam maya tanpa kebenaran, ketika ditemui pemberita selepas perasmian Bengkel Pemeliharaan Kelulut di Bilik Seminar Mardi Terengganu di Kubang Jela di sini 15 Oktober.

Menurut beliau, kerajaan tidak pernah memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk mengadakan sebarang pertunjukan yang bertentangan dengan garis panduan hiburan negeri.

Ini bukan bererti kerajaan menghalang mana-mana pihak mengadakan majlis hiburan di mana-mana tempat di negeri ini, tetapi mesti mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Semua orang sukakan hiburan tetapi hiburan mesti mengikut garis panduan agama. Apabila hiburan dibuat mengikut garis panduan tersebut, lebih ramai pengujung hadir dalam majlis berkenaan.

"Kita (kerajaan) pernah membenarkan pertunjukan hiburan diadakan di stadium dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan, tidak jadi masalah," jelasnya.

Di samping itu, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan bahawa pesta hiburan dipenuhi arak kononnya bertujuan menarik pelancong luar dan dalam negara ke Negeri Terengganu.

Katanya, jika kedatangan pelancong ke Terengganu untuk minum arak, di negara luar termasuk Thailand, didapati lebih banyak arak dijual dan bebas diminum tanpa had.

Katanya, pelancong datang ke Terengganu bertujuan untuk melihat keindahan alam di negeri ini termasuk, pulau, pantai dan tasik, bukan untuk minum arak.

"Jika mahu minum arak, negara mereka lebih banyak arak dijual berbanding di Malaysia, tak perlu datang ke Malaysia khususnya Negeri Terengganu," ujarnya.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: