Saturday, 13 October 2018

Pelaburan Terengganu Bukan Bermotif Untung Semata-mata

SHARE
Haji Yahaya Ali (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan KOKHIDMAT untuk pelajar cemerlang kepada Ahli Lembaga Koperasi (ALK), Ustaz Mohd Soud Said. Foto - Afif Fidee
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu komited dalam menepati hasrat rakyatnya apabila meletakkan perancangan jauh ke hadapan dalam aspek pelaburan negeri yang tidak bermotifkan untung semata-mata.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, contohnya dalam konteks pelaburan silika, ianya bukan sahaja berkait soal merancang penghasilan secara bahan mentah, bahkan menjurus kepada kilang pemprosesan silika untuk menghasilkan produk.

"Justeru, ia akan menggalakkan wujudnya industri hiliran baharu yang akan menyediakan peluang pekerjaan.

"Saya optimis dengan usaha kerajaan negeri sedia ada dalam memanfaatkan pelaburan untuk kesejahteraan rakyat.

"Ianya sekaligus merupakan usaha untuk merealisasikan manifesto iaitu menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 4 tahun," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-15 Koperasi Khidmat Batu Buruk Kuala Terengganu (KOKHIDMAT) Berhad di Batu Burok Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (13 Oktober).

Dalam perkembangan yang sama, menurut Haji Yahaya Ali, KOKHIDMAT terus mengorak langkah ke hadapan dengan kebijaksanaan dan kekuatan yang ada termasuklah mempunyai penasihat yang banyak memberi tunjuk ajar dan galakan.

"Koperasi ini bermula dari tiada apa-apa.

"Hari ini, ia membuktikan kemampuan dengan sumbangan-sumbangan yang telah dihulurkan.

"Saya yakin dengan kepimpinan yang ada, KOKHIDMAT akan terus berjalan secara aktif dan pergi lebih jauh dengan perancangan demi perancangan.

"Namun, apa pun yang dirancang, dalam suasana ini, jagalah sungguh-sungguh kerajaan yang ada.

"Yang terpenting, parti mesti jadi lebih kuat. Tidak boleh bergantung kepada jentera kerajaan. Aktifkan cawangan, hidupkan program dari masa ke masa, mesyuarat mesti berjalan dan seumpamanya.

"Parti tidak boleh diabaikan. Kitalah yang perlu membantu kerajaan hari ini. Bekerja dari sekarang untuk persiapan pada masa hadapan.

"Insya-Allah, mudah-mudahan banyak perkara boleh diselesaikan untuk membantu merealisasikan Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera," tegasnya.

Majlis turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak ahli KOKHIDMAT yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 dan berjaya masuk ke universiti.

Seramai 68 ahli hadir ke mesyuarat tahunan tersebut.


Turut hadir, Penasihat KOKHIDMAT, Datuk Haji Wan Abdul Mutalib Embong, Pengerusi KOKHIDMAT, Haji Wan Musa Wan Embong dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: