Friday, 5 October 2018

Pegawai Kerja Keras Bukti TMBS

SHARE
Ahmad Shah Muhamed ketika ditemui dalam sidang media selepas pertemuan bersama Persatuan Peniaga Medan MBKT Batu Buruk di Kelab Eksekutif Batu Buruk.
KUALA TERENGGANU - Para pegawai mestilah bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan Kerajaan Negeri Terengganu yang bermotokan "Maju, Berkat dan Sejahtera" betul-betul dapat direalisasikan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Mohamed berkata, kerajaan akan memastikan tempat peranginan Terengganu yang bersih dan selesa serta dikunjungi para pelancong dari dalam dan luar negeri.


"Begitu juga kerajaan negeri tidak lupa bahawa kita mempunyai penjaja dan peniaga yang memang sudah sekian lama mencari rezeki di sekitar Pantai Batu Buruk,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas pertemuan bersama Persatuan Peniaga Medan MBKT Batu Buruk di Kelab Eksekutif Batu Buruk pada hari Khamis, 4 Oktober.

Katanya, kerajaan negeri perlu melakukan satu penyelarasan supaya semua pihak dapat berfungsi dengan baik.

Tambah beliau, pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) perlu melaksanakan tanggungjawab dengan betul dan baik.

"Bahkan, penjaja juga perlu bertanggungjawab, bukan sahaja berniaga untuk mencari keuntungan semata-mata.


“Tetapi dalam masa yang sama mempunyai tanggungjawab sosial berkait dengan kebersihan dan pemandangan yang cantik untuk menggamit kehadiran pelancong.

“Mereka (para pelancong) dapat melihat (sendiri) Negeri Terengganu sebuah negeri yang disebut Negeri Terengganu Darul Iman yang menjaga kebersihan, keselamatan dan menjaga keindahan alam,” jelasnya.

Menurutnya, pihak kerajaan  akan mencari jalan penyelesaian yang terbaik  supaya para  peniaga dapat berniaga dengan baik dan Pantai Batu Buruk juga sebagai sebuah tempat pengunjung  boleh bersantai dengan pantai yang bersih dan keadaan yang selesa.

Selain daripada itu, kerajaan negeri juga berhasrat agar rakyat berdiri dengan sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak dan rakyat haruslah berusaha sedaya upaya merebut peluang pekerjaan yang disediakan.

“Kita akan pastikan peniaga kita dapat berniaga di tempat yang betul  dan mereka boleh mendapat keuntungan yang sewajarnya.

“Di samping gerai yang sudah ada, sekiranya kita dapati  hasil perbincangan dalam kerajaan ada keperluan yang kami perlu tambah, tak mustahil kita akan tambah,” ujarnya.

Justeru, pihak kerajaan akan memastikan para peniaga memenuhi syarat sepertimana yang termaktub dalam peraturan MBKT berkenaan dengan kebersihan, keselamatan dan lain-lain.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa  Pembangunan Belia Sukan dan NGO Ustaz Wan Sukairi dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Amzad Hashim.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: