Thursday, 25 October 2018

PBSNT Umum Percaturan Pasukan TFC 2019

SHARE
Hishamuddin Abdul Karim.
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Sehubungan dengan prestasi yang dicapai oleh Terengganu Football Club (TFC) I hingga IV pada musim ini, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhasrat untuk mengumumkan pembentukan pengurusan bagi semua pasukan yang berada di bawah seliaan PBSNT.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, PBSNT merakamkan rasa syukur atas kejayaan pasukan Terengganu yang telah bersaing dalam sukan bola sepak melalui kejayaan yang memberangsangkan mutakhir ini.

"TFC 1 akan berada di pentas final Piala Malaysia pada Sabtu ini menentang pasukan Perak.

"TFC II baru sahaja berjaya bergelar juara dalam Piala Cabaran yang baru diperkenalkan walaupun di peringkat awal, prestasinya merosot.

"TFC III bergelar Juara Piala Presiden dan tewas bersaing ketika Sukan Malaysia (SUKMA) berlangsung tempoh hari.

"Manakala TFC IV mampu ke pentas akhir Piala Belia walau hanya bergelar Naib Juara," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, semalam, mengulas tentang pembentukan pasukan TFC bagi tahun 2019.

"Jawatankuasa Khas Pemilihan yang bersidang 23 Oktober 2018 yang dipengerusikan saya sendiri telah mendapat mandat untuk membuat pengumuman pembentukan pengurusan dan pegawai pasukan TFC.

"Bagi Pasukan Terengganu FC Liga Super 2019 akan dikendalikan oleh Encik Ahmad Shahrizal bin Yahaya sebagai Pengurus, Encik Zul Fadli bin Rozi sebagai Penolong Pengurus dan Haji Irfan Bakti bin Abu Salim sebagai Ketua Jurulatih.

"Pasukan Terengganu FC II Liga FAM (Feeder Club) 2019 akan dikendalikan oleh Encik Jasmira bin Othman sebagai Pengurus, Che Wan Azlizan bin Che Wan Abu Bakar sebagai Penolong Pengurus dan Tengku Hazman bin Raja Hassan sebagai Ketua Jurulatih.

"Pasukan Terengganu FC III (Piala Presiden) 2019 akan dikendalikan oleh Haji Mohd Rusdi bin Hamat sebagai Pengurus, Haji Zulkifli bin Nawi sebagai Penolong Pengurus dan Encik Badrul Hafzan bin Razali sebagai Ketua Jurulatih.

"Manakala bagi Pasukan Terengganu FC IV (Piala Belia) 2019 akan dikendalikan oleh Encik Mohd Yahaya bin Mohd Noor sebagai Pengurus, Encik Ramlee bin Othman sebagai Penolong Pengurus dan Encik Subri bin Sulong sebagai Ketua Jurulatih," jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, menurutnya, pelantikan dan pemilihan yang dibuat ini adalah berdasarkan prestasi dan komitmen yang telah berjaya dipamerkan oleh semua yang terpilih.

Justeru, PBSNT merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang telah terpilih dan mengharapkan agar masing-masing dapat mempersembahkan kualiti kerja yang lebih cemerlang untuk melihat kejayaan pasukan Terengganu di persada tanah air.

"Bagi mendepani musim depan, PBSNT meletakkan sasaran dan akan menyusun Key Performance Indicator (KPI) buat semua pasukan agar musim depan berjalan dengan lebih tersusun.

"Berasaskan prestasi semasa, TFC I yang melalui kempen Piala FA TFC I hanya berada di Suku Akhir. Manakala kempen Liga Super, TFC I berada di tempat ke-5 dan terkini TFC I dalam kempen Piala Malaysia, kita berjaya berada dalam perlawanan akhir.

"Kita juga amat berharap agar TFC I berjaya merangkul kejuaraan," katanya.

Tambahnya, PBSNT turut mengambil peluang ini untuk mempelawa syarikat dan individu perseorangan untuk turut serta sebagai rakan penaja dan bergerak sebagai satu pasukan secara menang-menang.

"Kami percaya cabaran mendatang khususnya dalam aspek kewangan antara cabaran yang bakal dilalui secara getir dalam saingan musim depan.

"PBSNT tidak melupakan jasa semua pihak dalam menyokong dan memperkukuhkan pasukan kesayangan rakyat Terengganu ini.

"Justeru, kami akan berusaha gigih memperbaiki dan meningkatkan mutu pengurusan untuk musim depan.

"PBSNT merakamkan ucapan terima kasih khusus buat Kerajaan Negeri Terengganu, GLC, penaja-penaja yang setia, penyokong setia dan semua rakyat Terengganu yang sentiasa bersama kami ketika jatuh dan bangun.

"Semangat berpasukan ini kita akan kekalkan secara berterusan," tegasnya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: