Saturday, 20 October 2018

Pasar Mukmin Bakal Beri Manfaat - Satiful Bahri

SHARE
Pasar Mukmin Pinang Merah bertempat di Perkarangan Masjid Pinang Merah.
Oleh: Muhd Lukman

DUNGUN, 20 Oktober - Pasar Mukmin Pinang Merah, yang mula dibuka semalam, 19 Oktober bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk berniaga mahupun membeli.

Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, kedudukan pasar tani tersebut terletak di lokasi strategik yang mana ianya berada di hadapan Masjid Pinang Merah.

"Tapak pasar ini dipilih berhadapan dengan masjid agar dapat menarik penduduk termasuk para pelajar dari Pondok Darul Bayan dan sekolah menengah untuk membeli barangan keperluan mereka.

"Ianya sekaligus dapat mengimarahkan masjid ini. Hari Jumaat adalah hari ilmu di sini.

“Dengan adanya pasar mukmin ini, penduduk setempat tidak perlu risau untuk ke pasar di samping dapat mendengar kuliah dhuha pada setiap hari Jumaat," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pasar Mukmin Pinang Merah bertempat di Perkarangan Masjid Pinang Merah (19 Oktober).

Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, sambutan daripada para peniaga juga sangat memberangsangkan.

“Tempahan tapak perniagaan telah dibuka dua minggu lalu dan setakat hari ini sebanyak 44 tapak telah dibuka oleh para peniaga," katanya.

Tambahnya, antara objektif Pasar Mukmin di bawah pantauan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pinang Merah adalah untuk memberi peluang kepada penduduk setempat berniaga dan menambahkan pendapatan mereka.


“Kita harap penduduk setempat sekitar kawasan ini mengambil peluang untuk berniaga serta bersama-sama berkumpul di sini pada setiap pagi Jumaat," jelasnya.

Pelbagai barangan basah atau kering boleh didapati di sini termasuk ikan segar, sayur-sayuran, kuih-muih dan sebagainya.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Pihak Masjid Pinang Merah dan Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) Paka yang turut bekerjasama menganjurkan pasar ini.

Turut diadakan kuliah dhuha yang disampaikan oleh Ustaz Haslin Baharin.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: