Tuesday, 23 October 2018

Pangkalan Hadapan DUN Bukit Besi Bersiap Sedia Hadapi Banjir

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 22 Oktober - Semua pangkalan hadapan bagi menyimpan bekalan makanan dan keperluan mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi sedang disiapkan bagi menghadapi banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Enam pangkalan hadapan di DUN itu ialah Dewan Orang Ramai Pasir Raja, Dewan Sivik Kuala Jengal, Balai Raya Rantau Panjang, Masjid Minda, Pusat Komuniti Tepus dan Dewan Sivik Jerangau Sungai.


Penyelaras DUN, Ghazali Sulaiman berkata, antara persediaan utama dalam menghadapi banjir adalah memastikan pangkalan hadapan berkenaan berada dalam keadaan terbaik dan memenuhi aspek yang ditetapkan pihak berwajib.

"Seboleh-bolehnya kita tidak minta banjir itu berlaku, tetapi langkah persediaan itu perlu. Kerana adalah menjadi kelaziman, sebaik masuk sahaja November berkemungkinan banjir berikutan taburan hujan yang tinggi.

"Oleh kerana itu pangkalan hadapan yang menjadi tempat penghantaran barang dan penyimpanan stok barang, mesti berada dalam keadaan baik," katanya.


Beliau berkata demikian kepada wakil Urusetia Penerangan Darul Iman, ketika meninjau persipan awal pangkalan hadapan dan tempat perpindahan banjir, di sini.

Ghazali berkata, tinjauan dan pemantauan itu penting bagi memastikan pusat penempatan barang makanan dan segala keperluan untuk orang ramai dalam keadaan bersih, selamat, tidak dicemari serangga dan haiwan perosak serta stok makanan dibekalkan juga tidak melepasi tarikh luput.

"Ini adalah penting, supaya pelbagai barangan makanan selamat digunakan, berada di tempat yang bersih dan tiada gangguan tikus yang boleh merosak dan mencemarkan stok bekalan makanan.Di samping itu, aspek-aspek keselamatan dan kebersihan perlu dititikberatkan bagi mengelak risiko penyakit dan wabak kepada penggunanya.


"Tidak sepatutnya barang makanan telah luput tarikh berada di sini (pengkalan hadapan), sepatutnya dikosongkan sebaik sahaja pusat itu ditutup.Stok beras pun dilihat banyak, tapi sayang telah rosak tidak boleh digunakan, jadi tahun ini kita akan lakukan penambahbaikkan, agar apa jua sumbangan dari kerajaan digunakan dengan sebaik mungkin bagi mengelak pembaziran," tegasnya.


Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Dungun serta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Daerah Dungun antara agensi yang dipertanggungjawabkan supaya memastikan semua keperluan serta kemudahan itu dalam keadaan baik dan memenuhi aspek.


Katanya lagi, JKM yang akan menyalurkan dan membekalkan sepenuhnya segala barang makanan, dan keperluan seperti ubat gigi, tuala wanita, sabun, syampu, selimut, beras, sardin, minyak masak dan pelbagai sos.


Tambah Ghazali, pangkalan hadapan dan pusat pemindahan juga perlu dilengkapi tangki air yang menyimpan air bersih untuk kegunaan memasak, minuman dan beribada.

"Jadi tinjauan awal telah dibuat dan kita telah pun mengarahkan penduduk setempat bergotong royong bagi membersihkan tempat ini sebelum beroperasi nanti.

"Jika tiada apa-apa aral, JKM akan mula menghantar bekalan makanan bagi dijadikan stok simpanan menghadapi banjir, pada minggu hadapan, InsyaAllah," ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: