![]() |
Sebahagian pelajar sekolah meninjau salah satu daripada 32 jenis artifak Rasulullah SAW dan Sahabat r.a. yang dikatakan asli. |
Justeru, rakyat negeri ini berpeluang melihat secara lebih
dekat barangan milik Rasulullah SAW yang dipamerkan di Pusat Dagangan
Terengganu (TTC), Kuala Terengganu bermula 23 September hingga 23 Oktober ini.
Penasihat penganjuran, Profesor Dr Abd Manan Embong
berkata, pameran itu dilaksanakan hasil kerjasama kerajaan negeri dengan Syarikat
Dragon Heart Sdn Bhd dan Galeri Warisan M.A.R yang julung kali diadakan di
Terengganu.
Menurutnya, pelbagai jenis artifak asli baginda Nabi
SAW dibawa ke negara ini untuk dipamerkan kepada masyarakat Islam di
Malaysia.
“Antara barangan yang dipamerkan kepada umum seperti
rambut Rasulullah SAW, darah bekam, capal, tapak kaki, serban dan tongkat
baginda. Manakala barangan para Sahabat r.a. pula lebih kepada senjata seperti
pedang.
“Barangan ini dibawa khas dengan cara meminjam dari
beberapa negara iaitu Jordan, Mekah, Madinah, India dan Syria dengan kos yang
diinsuranskan sebanyak RM270 juta,” ujarnya, 9 Oktober.
Beliau turut menjelaskan, pameran seumpama itu pernah dilakukan di negeri lain seperti Melaka, Putrajaya, Kelantan, Kedah, Johor Bahru, Selangor (Shah Alam), Thailand, Brunei dan Singapura.
Dr Abd Manan berkata, pameran itu ialah aktiviti
jelajah ke seluruh Asia yang dilaksanakan bagi tujuan mendekatkan umat Islam
melalui khazanah peninggalan Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a. walaupun tidak
pernah bertentang mata.
“Saya yakin, pameran ini bukan sahaja dikunjungi
rakyat Terengganu tetapi dari seluruh negara dan dunia kerana berdasarkan
pameran sebelum ini, terdapat juga orang luar kawasan dan luar negara datang
melihat barangan yang dipamerkan,” ujarnya.
Manakala, Pengurus Pameran, Razali Bachik berkata, dalam tempoh 15 hari pertama, penganjuran itu berjaya mencapai ‘target’ Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
“Hari ini kita buat di Terengganu. Alhamdulillah, hari
ini hari ke-15 pameran dan ‘target’ pengunjung kita mencapai KPI kita iaitu sudah
lebih 30,000 orang pengunjungnya.
“Biasanya, kehadiran akan bertambah pada hujung minggu
dan insya-Allah, sehingga berakhir 22 Oktober ini, kita target pengunjung dari
seluruh negara boleh mencecah seramai 100,000 orang,” jelasnya.
Menjawab pertanyaan adakah artifak itu benar-benar
asli, katanya semua khazanah Islam itu tulen serta mempunyai sijil keasliannya
daripada pemilik asal.
“Kita ada kerjasama dengan NGO (Badan Bukan Kerajaan) di
Arab Saudi. Perjanjian itu kita dapat cadangan daripada kerajaan Brunei
untuk kami laksanakan projek Jelajah Nusantara ini.
“Ini supaya masyarakat di Asia dapat melihatnya, di
mana artifak yang kami bawa ini semuanya adalah benar-benar asli. Barangan ini
juga dipinjam daripada keluarga susur-galur keturunan Rasulullah SAW sendiri.
Semua barangan ini diinsuranskan berjumlah RM270 juta,” jelasnya.
Justeru, katanya ramai juga ulamak-ulamak besar dunia datang melihatnya seperti dari Indonesia, Thailand, Turki, London, Yaman, Pakistan dan sebagainya termasuk ulamak di Malaysia ini.
“Seruan saya kepada orang Terengganu yang telah hadir supaya war-warkan kepada mereka yang belum hadir. Mereka yang belum datang melihat untuk mendapat info tentang pameran artifak ini, datanglah beramai-ramai dan jangan lepaskan peluang keemasan ini,” ujarnya.
Bayaran masuk ke galeri pameran itu RM10 bagi orang
dewasa dan RM5 dikenakan kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah.
Pameran Jelajah Nusantara 2018 itu akan dirasmikan
oleh Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali
pada 11 Oktober ini.
Penaja utama pameran itu, Dragon Heart Sdn Bhd dengan
kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia dan Yayasan Pembangunan
Usahawan (YPU) Terengganu.
0 komen: