Saturday, 6 October 2018

Padang Bola Kampung Gong Kubur Akan Dibina

SHARE
Ustaz Mohd Nor Hamzah (dua dari kiri) berucap merasmikan Kejohanan Bola Sepak Kampung  Gong Kubur, Kampung Sena Rendang, Bukit Payung.
Oleh: Syaharulhafizi Shamsudin

MARANG - Sebuah padang bola di Kampung Gong Kubur akan dibina bagi menggantikan padang bola sementara yang ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, padang yang sedia ada sekarang adalah di atas tanah pemilikan persendirian.

"Bagi menjamin kemudahan penduduk, padang kekal milik kerajaan perlu dibina.

“Beberapa perkara perlu dilihat bagi merealisasikan hasrat ini.

"Namun saya akan berusaha sedaya mungkin menggantikannya kepada padang bola kekal,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Bola Sepak Kampung  Gong Kubur, Kampung Sena Rendang, Bukit Payung (5 Oktober).

Menurut Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, tanah rizab kerajaan yang terhad, keadaan kewangan dan prosedur akan memerlukan jangka waktu panjang.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut berharap supaya program yang berorientasikan sukan seumpama ini dapat ditingkatkan.

Hal ini kerana program ini bertujuan untuk menyihatkan tubuh badan, meningkatkan semangat berpasukan dan mengisi masa lapang anak muda daripada terjebak dalam masalah sosial yang hangat dibualkan.

“Syabas diucapkan kepada penganjur serta anak muda yang menjayakan program bermanfaat kepada penduduk kampung ini,” tambahnya.

Kejohanan tersebut disertai oleh lapan kumpulan yang terdiri daripada pelbagai kategori umur.

Perlawanan dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Payung serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Kubur.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: