Tuesday, 2 October 2018

Orang Ramai Boleh Mohon Tanah Terbiar Untuk Diusahakan

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
KUALA TERENGGANU - Orang ramai khususnya rakyat Negeri Terengganu boleh memohon tanah kerajaan yang terbiar untuk diusahakan dengan tanaman kontang seperti nanas, jagung, labu, tembikai, sayur-sayuran dan lain-lain lagi dalam bentuk Lesen Menduduki Sementara (LMS).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi permohonan LMS untuk tanaman kontang, Pentadbir Tanah Daerah diperturunkan kuasa untuk memproses permohonan tanah tidak melebihi 1 hektar.

Bagi keluasan tanah yang tidak melebihi 4 hektar mestilah mendapat kelulusan PTG setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa Tanah Daerah.

Manakala bagi keluasan tanah melebihi 4 hektar, mestilah mendapat persetujuan Pihak Berkuasa Negeri setelah mendapat syor dari Jawatankuasa Tanah Daerah.

Pihak kerajaan negeri akan menimbang setiap permohonan dengan sebaik dan seadilnya.


“Anak muda jangan segan dan malu untuk ke hadapan," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian dalam satu kenyataan (1 Oktober).

Tegas beliau, syarat untuk berjaya bukanlah mesti jadi ‘orang besar’, tetapi katanya mesti melakukan kerja dengan semangat dan berjiwa besar.


“Saya anak petani kampung yang amat memahami jerit perih kehidupan seorang petani kecil,” tambah beliau.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: