Friday, 12 October 2018

Nenas MD2 Kijal Tarikan Terbaharu Pelancongan.

SHARE

Oleh : Alfian Mamad

Kemaman - Ladang nenas MD2 di Kampung Bujal, Kijal di sini bakal menjadi hab agro-pelancongan berasaskan pertanian sekali gus membantu golongan petani  menjana pendapatan yang lebih.

Kawasan agrotourism yang mempunyai ladang nenas MD2 seluas 30 ekar kini sedang diusahakan secara berkelompok berpotensi menjadi salah satu daya tarikan terbaharu bagi Kemaman.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, ladang ini bakal diperluaskan lagi sehingga mencapai seratus ekar dan penduduk tempatan sebagai peserta program.

"Saya cukup berbesar hati dan berharap semoga projek ini diteruskan sehingga berjaya dan syabas saya ucapkan kepada anak muda yang komited dalam mengusahakan tanaman nenas ini kerana tak ramai orang muda yang sanggup bergelumang dengan tanah pada masa kini.

"Dan saya juga berharap supaya projek ini juga akan membuka mata dan minda anak muda kita diluar sana," kata beliau ketika berucap di Program Pantauan Kawalan Kualiti Tanaman di Ladang nenas MD2 di Kampung Bujal, Kijal, Kemaman di sini hari ini.

Turut hadir,  Pengarah Bahagian Kualiti Tanaman Jabatan Pertanian Malaysia, Nasir Haris; Pengarah LPNM Terengganu, Imran Fahmi Tajul Ariffin dan Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Hamid

Hadir sama, Pegawai Pertanian Kemaman, Nazirah Abdul Rahman; Pegawai Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM) Kemaman, Hazman Jusoh; Pegawai i-MiTS Dun Kijal dan Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Payoh.

Sementara itu, usahawan muda yang berasal dari Kampung Payoh,  Che Ku Mohd Sufian bin Che Ku Long, 32 tahun merupakan usahawan muda yang berasal dari Kampung Payoh mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya sehingga dia berjaya dalam projek tanaman nenas.

"Saya ucapkan terima  kasih diatas sokongan dan tunjuk ajar dari pihak MPKK, Pejabat Dun, Jabatan Pertanian Negeri/Daerah dan LPNM kerana tanpa sokongan anda semua, saya tidak akan mencapai kejayaan pada hari ini,"ujarnya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: