![]() |
Ustaz Ariffin ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Brainstorming Lujnah Ekonomi Muslimat PAS Negeri di Hotel Permai, hari ini. |
KUALA
TERENGGANU - Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu digalakkan menceburi bidang keusahawanan dengan
menerokai peluang perniagaan dalam talian bagi membantu mereka meningkatkan taraf hidup dan
memperkasakan ekonomi keluarga.
Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin
Deraman berkata,
penglibatan dalam bidang keusahawanan terutamanya perniagaan dalam talian bukan
sahaja membolehkan golongan wanita bekerja dari rumah seterusnya membantu golongan
ini menjana pendapatan sendiri.
“Kerajaan negeri menyediakan
peluang yang banyak untuk usahawan dalam talian mengembangkan perniagaan
termasuk menerusi bantuan dalam bentuk latihan dan bimbingan.
“Kita akan bekerjasama dengan Pengerusi
Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal
Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman untuk membangun
dan meningkatkan lagi usahawan dalam talian di negeri ini termasuklah usahawan
dalam kalangan muslimat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Brainstorming Lujnah
Ekonomi Muslimat PAS Negeri di Hotel Permai (7 Oktober).
Sementara itu, mengulas mengenai
program yang diadakan itu Ustaz Ariffin yang juga merangkap Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, beliau menyambut baik program
yang diadakan bagi merealisasikan visi dan misi Lujnah Ekonomi Muslimat PAS Negeri itu.
“Program yang diadakan selama dua
hari ini memang baik. Mereka dah bincang untuk meningkatkan ekonomi Lujnah bagi
membantu muslimat di peringkat kawasan masing-masing.
“Antara yang mereka cadangkan adalah untuk melahirkan
lima orang usahawan di setiap kawasan dan juga untuk melahirkan usahawan dalam
talian.
“Saya mencadangkan Muslimat negeri mengadakan perbincangan
lanjut dengan Exco Keusahawanan, Sumber
Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri kerana kerajaan negeri memang banyak menyediakan bantuan perniagaan untuk membantu rakyat Terengganu
termasuk muslimat,” ujarnya.
0 komen: