Wednesday, 3 October 2018

Muslim Perlu Yakin Dengan Islam - Wan Hassan

SHARE
Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (tiga dari kiri) bersalaman dengan kumpulan silat yang mengadakan persembahan di Karnival Hijrah DUN Paka.
Oleh: Muhd Lukman

DUNGUN - Orang Islam perlu yakin dengan Islam, bukannya ragu-ragu dengan agama yang kita anuti ini.

Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, Rasulullah telah meninggalkan dua perkara sebagai sumber rujukan iaitu Al-Quran dan Sunnah.

"Kita sebagai Muslim perlu yakin, rasa mulia dan hebat dengan Islam serta mengikut ajaran dari Al-Quran dan Sunnah Nabi," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Hijrah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka di Masjid Al-Azim, Felda Kerteh 3 (29 September).

"Jangan sesekali kita lari dari ajaran Rasulullah dan Al- Quran kerana Allah boleh memberikan hambanya peringatan pada bila-bila masa sahaja.

"Kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang dahsyat di negara-negara luar seperti gempa bumi, hujan air batu dan sebagainya.

"Jadi itu tandanya peringatan daripada Allah kepada umatnya supaya sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam," ujarnya.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) DUN Paka kerana menganjurkan program sebegini.

Sementara itu, pengarah program, Ustaz Mohd Kamal Mohd Shah berkata, perkarangan masjid dipilih sebagai tempat karnival untuk menyeru masyarakat hadir dan cinta akan masjid.


Turut hadir, Penyelia i-MiTS Parlimen Dungun, Ustaz Jamaluddin Jusoh, Pengerusi Masjid Felda Kerteh 3, Haji Ghazali Mohd, Pengerusi  Masjid Felda Kerteh 2, Haji Mohd Ibrahim, kakitangan i-MiTS DUN Paka dan masyarakat setempat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: