Tuesday, 9 October 2018

MPKK Perlu Tubuh Jawatankuasa Kerja Hadapi Banjir

SHARE


Oleh: Mohd Adli Mohamad

DUNGUN- Semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah ini disaran menubuhkan jawatankuasa kerja bagi memudahkan tindakan dilakukan semasa menghadapi bencana banjir yang berkemungkinan melanda Terengganu November ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, persiapan menghadapi bencana banjir perlu bermula dari sekarang berikutan mengikut kajian taburan hujan 'Forecast' didapati November menunjukkan taburan hujan yang tinggi.

"Persiapan menghadapi musim banjir di DUN Bukit Besi khususnya mesti dimulakan dari sekarang, dan MPKK yang mana kampungnya terlibat dengan banjir mesti segera menubuhkan jawatankuasa banjir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas mengenai persiapan banjir selepas meninjau beberapa kawasan yang berpotensi banjir di daerah itu (8 Oktober).

Menurut beliau, beberapa tempat telah dikenalpasti untuk dijadikan pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir.

"Tempat yang dipilih adalah antara yang sesuai dijadikan penempatan sementara penduduk yang terlibat banjir dan yang penting lokasi itu mestilah senang untuk diagihkan bekalan makanan dan ianya tidak terputus perhubungan. 

"Kita akan cuba memberi kerjasama terbaik kepada agensi-agensi yang menguruskan banjir seperti APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi dan jabatan berkaitan," ujarnya.

Katanya, sebanyak 65 buah bot turut disediakan untuk menjalankan operasi bantuan menyelamat mangsa ketika banjir.

Ghazali berkata, beberapa kawasan yang berisiko termasuk di Mukim Jengal (Kuala Jengal, Rantau Panjang, Jongok Batu, Kampung Syukur dan Kampung Pasir Raja).

“Mukim Besol (Kampung Besol, Ladang Gajah Mati, serta Pinang Mas) serta Mukim Jerangau (Kampung Lentang, Jerangau, Dendang, Kampung Tepusa dan juga Kampung Wa),” ujarya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: