Saturday, 20 October 2018

Mengundi Muda, Bukan Sekadar Isu Usia

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
DUNGUN, 20 Oktober - Keputusan membenarkan rakyat mengundi seawal usia 18 tahun tidak menjamin penyelesaian kepada isu daftar pengundi.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pengumuman Perdana Menteri tentang hal itu bukan melibatkan isu umur semata-mata. 

Sebaliknya, ada isu yang lebih besar iaitu bagaimana untuk memastikan tidak berlaku salah guna dalam pendaftaran pengundi.

"Ini kerana, pada daftar undi sebelum ini berlaku banyak salah guna dan kesilapan. Selain itu, masih ramai anak muda kurang kesedaran mendaftar undi walaupun had umur 21 tahun sudah dikira rendah," katanya.

Dr Samsuri turut mengulas cadangan memendekkan had lantikan menteri dan Perdana Menteri kepada dua penggal. Cadangan tersebut perlu melalui proses perlembagaan sebelum dilaksanakan.

"Ia suatu cadangan yang baik namun perlu dinilai secara mendalam. Secara peribadi, pelaksanaan cadangan ini dapat meningkatkan integriti, dan menyerlahkan idea-idea baru, maka ia wajar dibincangkan.

"Tetapi buat masa ini, belum ada tindakan berkaitan cadangan yang dikemukakan. Kita masih  menunggu penilaian dan perincian daripada pihak persekutuan," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Makan Amal Sekolah Menengah Sultan Ismail, di Arena Merdeka semalam.

Dalam pada itu, Dr Samsuri menegaskan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) konsisten dengan keputusan untuk mewujudkan satu undang-undang berkaitan pembiayaan politik.

"Sebelum pilihan raya lagi kita dah hantar memorandum cadangan berkenaan akta ini dan kerajaan terdahulu positif mengenainya, tetapi peralihan kerajaan menyebabkan ia tertangguh.

"Kita amat berharap ia akan diketengahkan berikutan pengumuman kerajaan hari ini sebagai satu usaha menambah baik politik dalam negara," katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: