Friday, 19 October 2018

Media Diminta Sebar Maklumat Untuk Kesedaran Masyarakat

SHARE

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Pihak media diminta untuk menyebarkan maklumat sekaligus menyedarkan masyarakat tentang kepentingan Islam dan merungkai setiap persoalan yang timbul.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ada sesetengah golongan yang cuba untuk mengelirukan Islam dan mereka yang masih lagi tidak meletakkan keutamaan tentang perundangan Islam.

“Saya ucap terima kasih kepada seluruh warga media pada pagi ini yang sama-sama hadir mendapatkan maklumat Muzakarah Perundangan Islam yang dianjurkan oleh  Jabatan Mufti  Negeri Terengganu dengan kerjasama  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan kerajaan negeri.

“Ramai pimpinan masyarakat, ketua jabatan dan pemimpin negeri yang terlibat hadir untuk  mendengar ulasan daripada tokoh agama dan mufti daripada Sabah dan Kelantan serta Pengerusi Persatuan Peguam Syarie  dan tokoh yang  lain termasuk Naib Kesatuan Ulamak  Sedunia, Dato Seri Abdul Hadi Awang,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Muzakarah Perundangan Islam Negeri Terengganu 2018  di Wisma Darul Iman (18 Oktober).

Katanya, setiap ulasan dan perbincangan serta perbentangan Muzakarah pada hari ini boleh disebarkan kepada mereka yang hadir dan masyarakat di luar sana.

Menurutnya, Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Terengganu telah ditetapkan  bahawa mana-mana yang datang untuk menyampaikan ceramah khususnya dalam masjid mesti mendapat kelulusan daripada jawatankuasa yang telah ditetapkan oleh Maidam.

“Antara program yang dilakukan oleh Pejabat Agama dan di bawah jawatankuasa saya serta Jabatan Mufti ialah jelajah fatwa pergi ke kampung-kampung untuk memberitahu fatwa lama dan baru untuk kefahaman masyarakat dan menganjurkan program termasuk maulud Nabi SAW,” ujarnya.

Justeru, beliau akan menyusun kuliah dan khatib utama bagi memahamkan rakyat tentang perundangan Islam sebagaimana yang telah disusun oleh jabatan mufti.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: