Wednesday, 10 October 2018

Markaz Lughah Pertama Di Terengganu

SHARE
Ustaz Satiful Bahri Mamat (dua dari kanan hadapan) menandatangani memorandum persefahaman bersama Syeikh Markaz Lughah (Pusat Bahasa Arab) Rabitah, Syeikh Muhammad Abu Fadhil al-Quasy, semalam di Mesir.
Oleh: Muhd Lukman

MESIR - Sebuah Markaz Lughah iaitu Pusat Bahasa Arab pertama bakal dibuka di Negeri Terengganu bermula Jun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat mewakili kerajaan negeri telah  menandatangani memorandum persefahaman bersama Syeikh Markaz Lughah (Pusat Bahasa Arab) Rabitah, Syeikh Muhammad Abu Fadhil al-Quasy, semalam (9 Oktober) di Mesir.

Katanya, dengan termeterainya memorandum ini, ia akan memberi banyak manfaat  kepada mahasiswa dan mahasisiwi di Negeri Terengganu seterusnya melahirkan modal insan yang cemerlang bukan sahaja menerusi bidang akademik bahkan juga dalam bidang agama.

"Insya-Allah, kita yakin dan percaya perjanjian ini akan memberikan banyak manfaat  kepada golongan mahasiswa di negeri ini seterusnya membantu mereka untuk lebih cemerlang pada masa akan datang.

"Persefahaman ini juga menggambarkan bahawa kerajaan Negeri Terengganu serius dalam menjadikan negeri ini sebagai hab pendidikan bukan saja di rantau ini malah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini (10 Oktober), mengulas tentang lawatan kerjanya ke Mesir.

Menurutnya, dengan wujudnya pusat ini, ianya sekaligus akan memartabatkan bahasa al-Quran iaitu bahasa Arab.

Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turut menyatakan bahawa kerajaan negeri bertuah kerana dapat bekerjasama dengan universiti ini kerana ia mempunyai sistem kurikulum yang baik dan para pensyarah yang berkemahiran dalam melatih para pelajar.

"Yang paling penting, Sijil Markaz Lughah ini diiktiraf di serata dunia dan menjimatkan masa para pelajar yang bakal meyambung pengajian di Universiti Al-Azhar kerana tidak perlu mengambil bidang bahasa Arab di sana, sebaliknya terus masuk ke kuliah," ujarnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: