Wednesday, 24 October 2018

Mangsa Ribut Petir Dapat Perhatian ADUN Cukai Dan i-MiTS

SHARE
Ghazali menunjukkan bahagian luar rumahnya yang di sambar petir ketika kejadian ribut melanda Kampung Geliga, Kemaman
Oleh: Abdul Hafiz Ghazali

KEMAMAN, 21 Oktober - Tiga beranak menghadapi detik cemas apabila kediaman mereka disambar petir sebanyak tiga kali ketika kejadian ribut yang melanda Kampung Geliga Besar, Kemaman, semalam.

Ghazali Awang Hitam, 59, berkata semasa malam kejadian ribut petir, dia dan isteri Noriam Ibrahim, 50 serta cucunya Nur Qalesya Umairah Nor Hisham,8, sedang lena didalam bilik tidur.

“Masa tu saya tengah tidur ketika terdengar satu letupan kuat dan bila bangun, saya tengok atap rumah tembus manakala dinding bilik tidur isteri dan cucu sudah hangus tetapi syukur mereka berdua tidak mengalami kecederaan.

“Lepas itu, terdengar pula letupan kedua di ruang tamu dan saya nampak kotak suis utama dah terbakar dengan marak menyebabkan saya mengambil risiko untuk memadamkannya bagi mengelakkan ia melarat ke tempat lain.

“Ingatkan itu sahaja, rupanya berlaku lagi panahan petir kali ketiga yang telah menyambar pokok di tepi rumah menyebabkab satu sudut mula terbakar dengan marak tetapi syukur saya dapat padamkan dengan segera,”katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) di kediamannya di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, kejadian petir ini merupakan kali pertama dia dan keluarga hadapi setelah 40 tahun menetap di situ dan sehingga kini trauma bila terdengar bunyi petir terutama cucunya.

“Kejadian itu merupakan pengalaman pertama dan pastinya tidak dapat dilupakan.Untuk keselamatan kami sekeluarga selepas ini saya akan menukar pendawaian baru bagi mengelakkan ia berulang lagi memandangkan yang ada sudah terlalu lama dan perlu diganti,

“Namun saya rasa bersyukur peristiwa yang berlaku ketika hujan lebat itu hanya menyebabkan rumah, pendawaian dan peralatan elektrik rosak, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa yang menimpa saya sekeluarga,”ujarnya.


Kejadian malang itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai , Hanafiah Mat dengan memberi sedikit peruntukan bagi menukar kotak suis utama dan sumbangan lain bagi meringankan beban Ghazali sekeluarga yang mengalami kerugian hampir RM1000.

Manakala isteri kepada ADUN Cukai, Hajjah Zahiyyah Abdul Rahman bersama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN yang prihatin dengan kejadian tersebut turut meluangkan masa dengan melakukan lawatan dan memberi sumbangan kepada mangsa .

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa yang terlibat dan pihak kami  akan mengambil tindakan segera untuk  baik pulih rumah berkenaan bagi mempermudahkan segala urusan  keluarga berkenaan,’’katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: