Wednesday, 10 October 2018

Latihan Simulasi Selamatkan Ternakan Ketika Banjir

SHARE

 Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- Jabatan Veterinar Malaysia mengadakan Latihan Simulasi Banjir Kebangsaan bagi menyelamatkan haiwan ternakan sebagai persediaan menghadapi musim banjir pada bila-bila masa sahaja.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dato Dr Quaza Nizamuddin Hassan Mizan berkata, haiwan ternakan sebagai antara hidupan penting yang  perlu dijaga kebajikan serta diselamatkan daripada sebarang ancaman banjir mahupun bencana lain.

"Haiwan ternakan sebagai sumber makanan yang menjadi protein utama kepada manusia.

"Sekiranya tidak diurus dengan sempurna semasa berlaku bencana akan mengakibatkan negara akan kehilangan sumber makanan asas protein yang akan memberi kesan secara tidak langsung kepada penduduk," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas melalui kenyataan media mengenai program Latihan Simulasi Banjir Kebangsaan 2018, yang diadakan di Institut Veterinar Wilayah Timur Jerangau dan Tasik Bukit Puteri, di sini, 8 Oktober.

Menurut beliau, Latihan Simulasi Banjir Kebangsaan yang julung kali itu melibatkan kerjasama antara Ibu Pejabat Veterinar Putrajaya dan Jabatan Veterinar Negeri Terengganu dengan bebarapa jabatan dan agensi luar.









"Agensi luar yang terlibat adalah seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Selain itu ianya juga turut melibatkan pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) serta Pejabat Daerah Dungun" katanya.














Menurut Quaza, objektif penganjuran latihan simulasi berkenaan adalah meningkatkan kemahiran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam pengurusan bencana terutamanya sebelum, semasa dan selepas banjir.

Kata beliau, antara objektif lain adalah bagi meningkatkan keupayaan untuk berkomunikasi dan bekerja secara berkumpulan serta 'inter agency' di dalam pengurusan bencana yang tidak terjangka.

"Sebanyak lima skop tugasan yang dinilai iaitu, pengaktifan bilik gerakan, pemindahan ternakan sebelum banjir, operasi menyelamat dan memindahkan ternakan semasa banjir. Antaranya lagi adalah latihan penyaluran bantuan semasa banjir, pelupusan bangkai haiwan dan juga pengurusan pusat perkhidmatan," jelasnya.

Menurutnya lagi, latihan simulasi yang dijalankan bermula dari 7 Oktober sehingga 9 Oktober lalu  disertai oleh 137 peserta dan pemerhati berjalan lancar dan bai.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: