Monday, 22 October 2018

Kosihat Capai Objektif Tingkat Taraf Sosioekonomi Anggota

SHARE
Foto - M. Shukri
Oleh : Safwan Syakir

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Koperasi Kesihatan Terengganu Berhad (Kosihat) berjaya mencapai objektif penubuhannya untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi di kalangan anggota menerusi pelbagai aktiviti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, keanggotaan dalam koperasi itu bukan semata-mata mementingkan soal dividen dan kepentingan lain, tetapi yang lebih utama adalah aktiviti kebajikan yang dapat dimanfaatkan oleh ahli dari semasa ke semasa.

"Antara aktiviti kebajikan yang dijalankan koperasi ialah memberi menyediakan khidmat khairat kematian, memberi sumbangan kepada ibu bapa sekiranya berlaku kematian anggota koperasi dan juga memberi sumbangan kepada anggota yang ingin mengerjakan ibadah haji.


"Selain itu, koperasi juga memperuntukkan dana untuk anak-anak kakitangan yang cemerlang bagi menampung mereka melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke -17 Koperasi Kesihatan Terengganu Berhad di Dewan Teater, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, di sini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh; Pengerusi Koperasi Kesihatan Terengganu Berhad, Dr Mohamad Rifin Awang dan juga mantan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohamad Omar.

Dr Alias berkata, Allah SWT akan membantu mereka yang menolong orang lain yang dalam kesusahan melalui aktiviti kebajikan dengan memberi keberkatan dalam hidup kita.

Tambahnya, kerajaan sedia membantu usaha usaha ke arah meningkatkan peluang-peluang perniagaan koperasi supaya lebih berdaya saing dan akan memastikan perniagaan yang dijalankan mematuhi syariah selari dengan hasrat kerajaan negeri.


"Tahniah diucapkan kepada koperasi ini yang selama ini mengambil berat soal halal dan haram dalam urusan perniagaan.

"Justeru, harapan saya semua pihak perlu berganding bahu untuk meningkatkan keahlian Kosihat, pendapatan dan menambah baik aktiviti-aktiviti kebajikan bagi menjayakan program yang dirancang,"katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: